Aku Bukan Punching Bag

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Salam Ramadhan yang mulia.

Dua tahun lepas aku ada tulis satu confession Surat Buat Mama (https://iiumc.com/surat-buat-mama/). Masa tu, aku kecil hati, sedih, marah. Semua rasa bercampur baur.

Lepas tu, aku baca komen-komen, mashaallah, ramainya manusia baik. Aku minta maaf sebab tak pm pun pada sesiapa yang minta pm tu. Sebab, as a person with a lot of issues, aku takut aku bebankan korang.

After the confession, aku memang fikir untuk focus pada diri sendiri je sebenarnya. Perjalanan healing diri ni, memang sakit. Ada je masa yang membuatkan aku jatuh dan kemudian sakit terperuk sendiri.

Hubungan dengan mama? Hahaha… aku boleh ketawa je. Last aku balik rumah mama abah aku, December 2020. Lepas tu, aku dah tak balik dah.

Aidilfitri 2021, aku sendirian, dan mungkin Aidilfitri 2022 ni pun aku sendirian juga, lagi sekali.

Kenapa?

Sebab aku penat, aku muak, aku jelak.

Kali terakhir aku balik, aku balik rumah mama abah aku selama 2 minggu. Selama 2 minggu tu, aku mempersoalkan kewarasan aku, aku mempersoalkan keberadaan aku.

Bilamana, kata-kata yang terluah dari mulut seorang ibu adalah “Aku dah doakan kau beribu-ribu, tapi, tiada satu doa aku yang terangkat untuk kau. Kenapa? Sebab, kau sendiri tak pernah redha aku sebagai ibu kau!”

Reaksi aku?

Terpana. Kelu. Bisu aku seketika bila dituduh tanpa hujung pangkal.

Pelik aku. Sepanjang 2 minggu balik tu, perlian sesaja setiap hari. Aku kesiangan tidurnya sekali dua selepas subuh, dituduh aku perempuan malas.

Sinki yang kosong tiba-tiba penuh dengan pinggan mangkuk tak bercuci sebab anak bongsu makan ditinggal sepi, aku juga yang dituduh pemalas. Tandas berdaki tak berberus sehari, aku yang dikata duduk rumah percuma tanpa kompromi.

Sungguh! Aku jadi muak. Jadi jelak.

Aku banyak diamkan diri. Aku banyak pendamkan kata. Tak kuasa aku nak membela diri pun. Tapi, dikatanya aku memekakkan telinga, membisukan diri, menulikan mata.

Sudahnya, aku pulang semula ke rumah sewa dengan hati bengkak tapi melepaskan nafas lega sebaik sahaja kaki berpijak ke tanah KL Sentral tu.

Tiap kali orang yang tak tahu hujung pangkal cerita aku dan mama abah aku, pasti nasihatnya, “Baliklah, tu kunci rezeki kau…” “Pujuklah hati… Kau hidup susah begini, mungkin sebab kau tak berbaik dengan mak kau”

Wehhhh!!!

Kau tahu, aku hampir hilang waras aku seketika sebaik sahaja aku sampai ke rumah sewa aku. Sampai datang ketakutan yang aku bakal mati di tangan sendiri.

Ketakutan yang membuatkan aku, kadang-kadang, nak tengok pisau pun aku ngeri!

Aidilfitri 2020, aku tak de hati. Masa tu kan, PKP? Maka beriyalah anak kedua kesayangan mama abah aku tu, setup video call satu famili.

Aku join, despite of line umobile yang kadang-kadang buat sakit hati. Tapi akhirnya aku sepi sendiri. Seolah-olah aku ni watak picisan je dalam video call tu. Yang bersembang beriya, hanya mama abah aku, dengan anak kedua kesayangan yang dekat negeri jelapang padi tu.

Saat tu, segala memori Aidilfitri datang menayang tanpa paksa dekat depan mata.

Betapa sehari sebelum hari raya, aku yang terdera emosi dan fizikal dikerah itu ini. Keluarga kami kecil je. Aku anak sulung dari 4 beradik.

Adik kedua dan ketiga masing-masing dah berkahwin, anak masing-masing 3. Jumlahnya, bukanlah sampai sekampung keseluruhan. Tapi, kau bayangkan masakan yang mahu dimasak dengan kudrat aku dan mama aku tu.

Ketupat perkara wajib. Aku tak pandai menganyam ketupat, tapi, dimarah-marah sebab ketupat tak cukup bilangan untuk dimasak.

Masalahnya, yang nak makan ketupat tu berapa orang je. Aku sendiri tak berapa makan ketupat orangnya. Jadi, kenapa yang perlu setiap kali raya, hatta Aidil Adha pun, ketupat tu nak dimasak sampai 100 biji?

Rendang tak cukup sejenis ye. Kalau boleh serunding pon nak dibuatnya.

“Oh, cucu yang tu suka makan ni…” “Oh, Angah suka makan rendang ni…” “Oh, Ayang suka makan yang ni…” “oh, abah kau suka makan ni…” “Oh, adik suka makan yang ni…” “Oh, menantu yang tu suka makan ni” “Menantu yang tu suka makan ni..”

Bila aku tanya “Habis, along?”

Jawabnya, “Alahhhh, kau kan makan je apa yang ada, tak payah memilih…” Begitu ye! Tapi, yang terdera memasak tu, aku.

Jangan tanya mana adik ipar aku, isteri si angah dan adik aku si Ayang tu. “Diorang nak settle kan anak-anak dulu.. Kau tak berlaki lagi!”

Settle kan anak-anak? Aduhaiiiiii

Macam aku tak dapat baca yang itu Cuma alasan semata-mata.

Hari terakhir Ramadhan, tapi, terdera emosi aku jadi keping-keping yang aku terpaksa kutip satu-satu supaya manis muka di pagi Hari Raya.

Itu kalau Hari Raya cukup semua anak menantu balik mengadap di malam Raya.

Ye, mereka balik di malam Raya, saat semua masakan siap dimasak, ketupat siap bertanak, nasi impit siap direbus. Dan Angah dengan muka senyum simpul bersama isteri tercinta berkata “Terima kasih, kak… Tolong mama.. Tak de kakak, siapalah yang tolong masak semua ni!”

Puihhhh.. Kalau aku boleh ludahkan, aku ludahkan muka masing-masing yang berpura-pura tu. Bukan aku tak tahu aci ngelat korang berdua laki bini!

Oh, ini kalau anak menantu kesayangan sekalian balik, memang muka mama abah berbahagia gembira. Sampai aku sendiri pelik tengok senyum yang tak lekang dekat muka mama.

Tapi…

Tapi, kalau anak menantu kesayangan tak kunjung tiba, dengan alasan akan balik beraya pada raya kedua atau malam raya pertama?

Di pagi hari raya, aku berendam air mata. Tangan dihulur untuk bersalaman ditepis, tangan aku yang didepangkan untuk berpelukan ditolak kasar dengan alasan, bau badan aku busuk!

Ye! Aku dengar banyak kali dah alasan ni. Malah, aku akan membuat muka pelik kalau mama yang tiba-tiba memeluk aku. Sebab, sepanjang aku hidup, aku rasa, pelukan mama adalah perkara paling limited edition untuk aku terima.

Orang lain pagi raya bersalaman bermaafan, senyum ceria dan bahagia. Aku menyimpan air mata, sesak hati dan kebas jiwa dengan layanan bukan-bukan dari mak sendiri.

Balik-balik salam raya, aku diminta ubah perangai. Ubah sikap aku yang suka melawan kata, yang suka buat keras kepala, katanya.

Jelak! Muak!

Sebab, ,yang aku lawankan kata tu, bila mana aku disialkan, dibodohkan, dicelakakan dengan alasan serba kecil.

Sikit-sikit aku yang kena berubah. Sikit-sikit aku yang kena accommodate their need as parents.

Aku penat sendiri.

Malah, pernah ada kejadian, aku breakdown akibat makian dan hinaan yang bertubi-tubi. Aku talakan pisau tajam ke muka mama, meminta dia menikam aku, segera ketika itu. Reaksi mama?

Dia ketawa. Kemudian dia hanya berkata “Kau nak mati, mati sendiri, tikam diri kau sendiri. Aku tak nak dituduh membunuh. Kalau ikut aku, memang hari-hari aku doa kau mati! Tapi, kau tak mati-mati!”

Kata-kata yang membuat aku tersedar dan langsung mati rasa. Mati rasa dengan mak sendiri. Mati rasa dengan darah daging sendiri.

June 2021, mama telefon aku di pagi hari, bertanyakan keberadaan aku. Satu perkara yang sangat pelik dan di luar kebiasaan. Rupanya, dia mahu menjodohkan aku dengan entah siapa-siapa.

Katanya, anak saudara kawan dia. Bila aku tanya, samada dia kenal benar dengan anak saudara kawannya tu, dia kata tak kenal. Kemudian?

Kemudian, dia berfantasi, seolah-olah aku bersetuju. Siap dah tetapkan Tarikh. Dan, aku ni, merasa takjub yang teramat. Sebab apa?

Wah wahhhh… Kau pun tak kenal lelaki tu, tetiba kau terus nak rancang majlis kahwin aku, walhal, aku sedikit pun tak de berdehek bercakap ya.

Malas aku membantah, aku hanya berkata, kenal je laaa dulu, kalau ada ada. Tak usah berangan sampai ke bulan.

Korang nak tahu reaksi mama aku?

Dia berdrama beb! Kalau masuk anugerah Skrin, confirm menang pelakon terbaik!

Di hujung talian dia menangis mendayu-dayu. Katanya, rohnya bakal tergantung akibat aku yang tak mahu kahwin.

Lahhhh… Pulakkkkk

Sejak bila, ada konsep roh bergentayangan dalam Islam ni? Bukan ke mama aku orang masjid, tiap petang belajar ta’alim di masjid, mengaji setiap hari?

Pusing kepala aku melayan kerenah mama aku seorang. Sungguh, letak je telefon, sakan aku ketawa sambil menangis teresak-esak. Rasanya, aku separuh gila haritu memikirkan sikap mama aku yang bukan-bukan.

Reda soal kahwin (by the way, aku tak kenal pun lelaki tu sampai sudah… Hahaha), datang pula soal lain.

September 2021, di pagi serba indah dengan kicauan burung, aku ditengking dan diherdik. Diugut di talian oleh mama aku. Kenapa? Sebab aku tak de hati nak balik. Hati aku dah kebas. Aku sendiri tak tahu samada aku sayang atau tak pada famili aku.

Dengan suara meninggi, mama aku mengugut aku. “Kalau kau tak balik, kau dengar ye. Kalau aku, atau abah kau mati, jangan harap kau boleh balik! Kau dengar ni!”

Reaksi aku? Aku yang kebetulan berdiri di depan cermin muka, aku pandang lama muka aku di balik imej cermin tu. Kosong. Muka aku kosong mendengarkan pekikan dan ugutan mama aku tu. Aku memang ingat sangat keadaan pagi tu

Out of nowhere, mak kau telefon, pukul 7 pagi, lepas tu, menjerit-jerit terpekik-pekik marahkan kau yang tak de rasa nak balik walau sehari ke rumahnya. Muka aku memang kosong tak beriak, mata aku kosong tak de jejak.

Aku dah tak de rasa nak melawan, tak de rasa nak membantah, tak de rasa nak membela diri macam selalu.

“Kalau dah mati, along pon tak boleh buat apa dah” sebaris aku menjawab tanpa nada, sebelum aku matikan telefon berpura-pura yang telefon aku jatuh.

Aku tengok jam dekat telefon, rupanya, hampir 45 minit jugak dia terpekik-pekik marahkan aku.
Bila aku telefon semula, mama aku segera mematikan kata aku “Sudahlah,, aku nak sambung ngaji, lepas tu nak solat dhuha.”

Telefon dimatikan dengan aku ketawa terbahak-bahak macam orang gila.

45 minit kau maki hamun aku di hujung talian, dengan Bahasa serba kejam dan tidak punya sifat kemanusiaan. Tiba-tiba dengan mulut dan hati yang sama, kau bawa menghadap Tuhan?

Ajaran apa ini?

Mesti korang yang baca pon rasa macam… Drama apakah ini?

Ye, aku sendiri merasakan semua ini drama. Drama yang pengarahnya sendiri, pasti pening melayan nafsu membuak-buak pelakonnya.

Sejak September 2021, sampai kini, aku memang berhenti menghubungi mama abah aku. Jujur, aku jelak. Aku dah penat nak melayan nafsu serakah mama aku yang nak aku memuaskan kehendak dan cita-citanya. Sedangkan aku sendiri sesat mencari impian dan cita-cita aku sendiri.

Sehinggalah minggu lepas, pada hari Khamis yang memenatkan. Saat aku berjalan kaki sejauh 1.5km dari tempat kerja ke stesen MRT, mama aku tiba-tiba menelefon aku. Masih kewarasan aku ada untuk melayaninya selayak seorang ibu.

Namun….

Dalam kepenatan, kelelahan aku, dia berkata-kata sinis yang aku tak dapat hadam sikit pun selain daripada “Aku ni, menjatuhkan martabat aku dengan menelefon kau ni…”

Aku terkesima seketika dengan kenyataan tu. Apakah menjadi seorang ibu, menjadikan martabat kau lebih tinggi dari manusia lainnya?

Apakah terlalu hina untuk seorang ibu menelefon anak sendiri bertanya khabar berita?

Apakah aku ini terlalu hina di mata seorang ibu hingga tak layak sedikit pun untuk kau bertanya khabar walau sedetik?

Dan, entah kenapa, kalau aku adalah Along yang 2 tahun lepas, pasti air mata aku banjir dan sudah kelam kabut aku Kembali menelefon mama dengan permintaan maaf dan ampun yang bertubi-tubi.

Tapi, tidak! Aku tak lakukan itu walau sedikit pun. Walaupun adik aku si Ayang yang cantik beranak tiga tu, suruh aku telefon mama aku semula.

Aku tak telefon. Aku dah tak mampu nak berbohong. Aku dah tak mampu nak jadi anak baik. Aku dah tak mampu nak jadi anak yang membahagiakan. Dah tak mampu.

Sabtu lepas, bertubi-tubi silih berganti mama dan abah aku telefon aku. Lebih 10 kali juga. Satu pon aku tak jawab.

Sebab?

Aku tahu apa mahunya. Bertanyakan samada aku balik atau tidak Aidilfitri ni nanti. Sebab? Tak de siapa nak tolong mama tu masak.

Ayang dah berpindah ke Pahang ikut suami. Isteri Angah sarat mengandung. Hallahhhhh… kalau tak mengandung pun, tak pernah pun dia balik menolong masak.

Yang dia tahu, menghadap rendang pagi raya dengan lahap tanpa hirau sesiapa.. Setiap 2 jam mengulang makan sehingga rendang kesukaan habis yang mana aku sendiri hanya mencicip makan, akibat jelingan dan perlian mama aku.

Faham kan, kenapa aku kata aku penat dengan Hari Raya?

Kita tolong masak beriya-iya. Konon, dapatlah makan dengan bahagia. Sudahnya, ,baru sahaja ayam seketul dua letak dalam pinggan, kita dah dikata-kata. “Tinggalkan orang belakang…” “Nanti,, orang datang beraya tak de nak hidang..”

Meh laaa aku kabor…

Sejak aku berusia 16 tahun, siapa je pernah datang beraya rumah mama abah aku tu?

Keluarga kitorang dipulau keluarga besar sejak aku 16 tahun. Tu masalah orang tua, aku malas nak campur. Jadi, sejak tu, hari raya, hanya kami sekeluarga.

Habis, kenapa masak beriya-iya?

Entah! I have no idea!

Yang aku tahu, setiap kali hari raya, pasti ada pembaziran. Rendang basi, ketupat basi itu ini.

Dah, aku nak makan tak dapat. Menantu kesayangan makan memilih-milih. Rendang dia suka habislah. Rendang dia tak suka?

Begitulahhh…

Jadi, Aidilfitri 2022, adakah aku balik beraya?

Jawapannya tidak. Aku tak de rasa. Aku muak. Aku jelak. Aku dah penat jadi punching bag. Pagi-pagi raya bermasam muka.

Selfie dengan aku, tak pernah sekali nak senyum, atau pandang kamera. Alasan, trend sekarang tak pandang kamera kalau tangkap gambar.

Tapi, aku tengok dia selfie dengan bini Angah bukan main manis muka. Hatta selfie dengan anak-anak sedara pun bukan main indah wajah di pandangan mata. Siap bermesej I love you di Whatsapp. Amboiiii… bukan main sejak-sejak keluarga besar berbaik-baik, ber I love you bagai…

Dengan aku?

Sepatah ditanya, sepatah dijawab.

Bila aku saja trigger, kenapa dengan anak-anak sedara, dengan anak yang lain, dengan menantu boleh mesej-mesej panjang dan bersayang-sayang. Katanya, aku ni tak layak diberi muka, tak patut diberi manja.

Macamlah pernah dimanjakan aku dengan kata-kata bahagia dan gembira. Heh!

So, bila aku baca balik confession yang aku tulis dua tahun lepas… Aku rasa, dulu, betapa aku sedih sangat. Betapa kecil hatinya aku dengan sikap keluarga sendiri.

Tapi sekarang…

Entah…

Aku dah tak de rasa. Aku dah tak de rasa nak merebut perhatian ke, nak mencari bahagia ke apa ke.

Bagi aku, mama aku gaslight aku sampai tahap aku dah kebas. Sampai tahap aku dah tak peduli.

Cakaplah aku selfish sekalipun, aku dah tak hirau dah. Aku just nak fikir untuk baik pulih diri sendiri je. Lama sangat aku terperuk rasa, memendam perasaan dan merasakan bahawa aku laaa manusia paling celaka dan derhaka pernah hidup atas muka bumi akibat termakan kata-kata mak sendiri.

Aku dah rasa cukuplah dengan semua tuduhan dan tohmahan yang mengatakan aku ni derhaka, dan dah menempah neraka. Bagi aku, mama atau abah aku bukan tuhan yang menghukum aku bukan-bukan.

Allah tu Maha Baik. Aku yakin sangat Allah tu baik. Maha Baik, Maha Santun, Maha Penyayang.

Takkanlah, Allah hidupkan aku semata-mata nak bagi aku mati masuk neraka? Takkanlah tujuan hidup aku semata-mata kena serve nafsu dan amarah mak ayah aku semata asbab aku tak mahu mengikut kehendak dan telunjuk diorang.

Terima kasih korang yang komen dan baca confession aku 2 tahun lalu. Bila aku baca balik komen-komen korang, aku meyakini yang Allah tu sangat baik.

Allah sentiasa pandang aku dengan pandangan kebaikan dan kerahmatan. Terima kasih sangat atas kata-kata korang yang serba baik dan membahagiakan serta memotivasikan.

Pasal hal mama abah aku ni… Aku doa, aku ada kekuatan nak balik jengah walaupun sekejap rumah diorang tu. Buat masa sekarang, aku tak cukup kuat.

Aku takut jugak aku breakdown tiba-tiba lagi. Takut aku, tiba-tiba keluar headline ‘Seorang Wanita mati menikam diri di depan ahli keluarganya’. Nauzubillahhhh…

Doakan aku ye. Aku sedang cuba baik pulih diri sendiri. Terperuk dengan perasaan dan emosi yang bercampur baur, kadang-kadang buat aku rasa aku hilang upaya dengan reality.

Aku cuba sedaya upaya untuk bangkit. Sedaya upaya belajar untuk sayang diri sendiri. Sedaya upaya meletakkan kepentingan diri, perasaan, emosi dan keperluan diri pada tempat yang sepatutnya.

Aku nak berhenti jadi people pleaser, aku dah tak nak asyik dok nak bagi orang bahagia, sedangkan aku sendiri sakit dan meranapkan diri sendiri. Aku dah tak nak dah.

Aku just nak jadi manusia yang sayang diri sendiri, yang ada dignity, yang ada emosi dan kesihatan mental yang baik.

Aku dah penat melayan perangai narsistik mama aku, ego tinggi melangit mama aku dengan abah yang tak pernah nak jadi mediator, malah sentiasa menyokong mama aku. Dulu kini selamanya… begituhhhh

Aku ada juga usha-usha counceling centre, supaya aku boleh healing dengan baik dan di guide oleh yang ahli.

Aku minta doa korang tau. Aku memang dah rasa sekarang aku sorang-sorang je. Tapi, aku tahu, sebab Allah baik, mesti semua ni ada hikmahnya.

Keadaan hidup aku setakat ni, cukup je makan pakai. Tak de pulak tetiba kena panah petir berubah jadi gelandangan sekelip mata macam cerita anak derhaka dalam TV tu.

Aku just nak korang doakan yang baik-baik buat aku, juga mama abah aku. Apa pun, diorang tetap famili aku. Cuma, aku je kena tahu batas mana supaya aku tak lagi dibuli sewenang-wenangnya.

Doakan aku ye…

Manusia kuat,

– Along (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *