Cikgu 2.0

Hai semua. ZP kembali lagi. ZP bercerita, anda membaca. Pada kali ini ZP akan berkongsi cerita tentang cikgu lagi, Cikgu 2.0.

Sememangnya ZP agak ramai juga kenalan yang berjawatan cikgu di dalam laman ini. Cikgu yang mengajar di kawasan pedalaman sebabnya ZP pun selalu bertugas di kawasan pedalaman.

Cerita ini telah lama berlaku. Puluhan tahun telah berlalu. Baiklah, ZP akan ceritakan semula bagaimana kisah ini berlaku.

***

Setelah 3 jam melalui perjalanan dari pekan Grik, Kami sampai di sebuah perkampungan orang Melayu yang terakhir. Trak berhenti di tepi jalan, jalan yang tidak berturap, jalan balak. Jalan balak yang tidak digunakan lagi oleh lori balak dan sekarang menjadi laluan utama orang kampung dan orang asli.

Setelah turun dari trak. Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki di laluan jalan balak. Keadaan jalan balak agak bahaya dengan keadaan tanah yang berlubang, tidak rata dan bertebing cerun.

Pemandangan hutan yang terbentang damai berada bersebelahan jalan balak. Kami berjalan, terus berjalan ke atas menuju ke kawasan hutan. Setelah hampir 1 jam, kami berhenti di luar pagar yang sebuah bangunan yang agak baharu.

Cat biru bangunan itu masih menyerlah cantik. Bangunan yang tidak bertingkat itu memanjang kedudukannya. Aku pandang papan tanda di hadapan pagar, tertera Sekolah Rendah Kebangsaan.

Setelah berehat seketika, kami bergerak menyusur di tepi pagar sekolah hingga melepasi kawasan sekolah (belakang bangunan sekolah).

Berjalan hampir satu jam juga, kami berehat dan ketua mengarahkan kami membuat base sementara di situ. Di kawasan base itu, kami telah memasuki kawasan hutan, pinggir hutan. Aku dan rakan-rakan sampai ke kawasan itu dalam pukul 1 petang.

***

“Botak, jom jalan kat kawasan sekolah. Saja-saja cuci mata,” kata kawan aku bertubuh tinggi, berkulit gelap. Aku namakan kawan aku, 1.

“Cantik tu plan kau tapi sekejap lagi 1. Awal lagi ni. Aku ingat nak cantikkan tempat tidur dulu. Nak cari beberapa batang kayu,” kata aku.

“OK takpe. Apa kata lepas makan kita pergi,” ajak 1.

“OK nanti aku minta kebenaran dengan Ketua,” kata aku. Aku pun terus membuat kerja. Dalam Pukul 2 petang, selepas makan aku menghampiri 1.

“1 sibuk ke?” Tanya aku apabila melihat kawan aku yang terbongkok-bongkok sedang melakukan sesuatu.

“Takde lah Botak, bersih sikit-sikit je kawasan tempat tidur ni,”

“Macam mana jadi tak pergi jalan-jalan kat sekolah?” Tanya aku.

“Jadi, tapi dah dapat izin Ketua ke? Berapa orang nak pergi?” Tanya 1.

“Jangan risau, semua dah settle,” jawab aku.

1 hanya merenung saja wajah aku. Aku hanya tersenyum. Setengah jam berlalu. Aku, 1 dan 2 berkumpul di tempat tidur aku. Kami telah bersedia untuk bergerak menuju ke sekolah.

“Botak, hati-hati,” itu kata Ketua apabila melihat kami memulakan langkah untuk pergi. Tiga orang yang pergi ke sekolah. Pergi hanya untuk berjalan-jalan, tiada niat lain.

***

Dalam 30 minit berjalan, kami meniti sebatang kayu balak yang tumbang. Kayu balak itu bagaikan jambatan, mungkin orang kampung yang membuatnya. Di bawah kayu balak itu terdapat aliran jeram. Jeram tidak berapa besar. Arus yang mengalir sangat bersih. Batu-batu menjadi hiasan d itepi tebing.

Cantik di pandangan aku. Sangat sesuai untuk mandi manda. Akhirnya pagar sekolah aku hampiri, bermakna sempadan sekolah telah berada di hadapan aku. Aku menuju ke pintu pagar.

“Apa khabar Encik?” Sapa aku pada pengawal di pintu pagar.

Aku sebenarnya agak serba salah memberi salam kerana lelaki yang berada di hadapan aku bukannya orang Melayu. Dengan fizikal sasa, bertubuh pendek, berkulit hitam dan berambut keriting persis Orang Asli. Pada tahun itu masih ramai Orang Asli yang belum memeluk Islam. Itu berdasarkan pada pengalaman akulah.

“Khabar baik encik. Boleh saya tolong encik?” Tanya pengawal itu yang slangnya terbukti orang Asli.

Tepat tekaan aku. Mungkin pengawal itu tahu siapa aku dan kawan-kawan yang lain kerana pakaian seragam yang tersarung di tubuh kami.

“Encik, boleh kami masuk, jalan-jalan kawasan sekolah?” Tanya salah seorang kawan aku yang berkulit putih.

“Boleh encik, silakan. Encik pergi hujung bangunan sekolah ada bilik cikgu. Encik boleh cakap-cakap dengan cikgu,” kata pengawal itu yang tingginya separas bahu aku.

“Terima kasih encik,” kata kami. Pengawal itu baik dan sopan.

Kami menapak memasuki ke kawasan sekolah. Makin dekat ke bangunan sekolah, anak mata aku terus liar melihat kawasan sekitar. Bilik darjah kosong menandakan murid-murid telah pulang.

Namun di padang sekolah, masih terdapat murid-murid yang mungkin terlibat dalam aktiviti sukan. Murid-murid tersenyum sambil melambai tangan ke arah kami, senario biasa bagi aku.

“Assalamualaikum Encik,” sapa suara lelaki dari belakang kami. Aku dan kawan-kawan menoleh, melihat.

“Waalaikumussalam,” aku yang menjawab salam. Di hadapan aku berdiri seorang lelaki, tubuh agak rendah, kurus. Berkulit cerah dengan berpakaian sukan. Nyata! Persis seorang guru sukan.

“Dari mana ni, encik? Ada operasi kat sini ke?” Tanya lelaki itu.

“Ya encik, kami ada kerja kat sini. Maaf masuk kawasan sekolah, jalan-jalan,” jawab seorang kawan aku.

“Eh takpe, kenalkan saya Cikgu Din, Nordin,”

Kami bersalam dan memperkenalkan diri. Cikgu Din membawa kami mengelilingi kawasan sekolah. Dan juga memperkenalkan kami pada cikgu-cikgu yang ada pada masa itu.

Cikgu Din juga memberitahu yang sekolah ini berada di tengah-tengah dua buah kampung iaitu kampung Melayu di tempat trak aku berhenti dan kampung Orang Asli yang berada selepas kawasan sekolah.

“Biasalah Botak, bila duduk kawasan pendalaman ni tak boleh duduk diam,”

“Kenapalah cikgu?” kata aku

“Boring nanti, pawagam jauh, mall pun jauh,” kata Cikgu Din sambil ketawa.

“Betul tu cikgu kena ada hobi, baru hilang boring,” sampuk 2.

“Betul tu, saya sekarang baru berjinak memancing atau pukat ikan. Kalau sebelum ni memang takde dalam hidup saya tentang ikan-ikan ni,” kata Cikgu Din sambil ketawa kecil.

“Wah! Mantap hobi baru cikgu, tempat ni memang banyak ikan ni. Ikan mahal tu, Ikan Kelah, sebarau atau Tengas. Hobi bagus tu,” kata 1.

“Betul memang dah ketagih pun. Pantang free memang pergi pancing atau pukat ikan,”

“Cikgu pergi dengan group cikgu juga ke?” Tanya aku.

“Ya tapi ada Orang Asli ikut sekali sebab diorang pakar, tempat mereka kan,” kata Cikgu Din.

“Betul tu, diaorang memang pakar tentang hutan dan sungai dalam hutan. Rumah mereka kan,” kata aku yang memang mengakui fakta itu.

Memandangkan petang semakin menunjukkan wajah gelapnya, kami meminta diri untuk pulang ke base. Kami berjanji akan berjumpa dengan Cikgu Din keesokan harinya.

Cikgu Din telah berkhidmat di sekolah itu selama satu tahun. Cikgu Din berasal dari Johor. Cikgu Din boleh dikatakan sebaya dengan aku.

***
“Assalamualaikum cikgu,” aku memberi salam.

Cikgu Din yang membelakangkan aku, melihat.

“Waalaikumussalam Botak. Apa khabar?” jawab Cikgu Din sambil menghulurkan tangan bersalam.

“Sila masuk semua, dah makan ke semua?” Pelawa Cikgu Din.

“Syukur dan kenyang cikgu,” jawab aku. Kebetulan kali ini datang aku dengan 2 sahaja.

“Ok takpe, apa kata saya goreng pisang. Kita makan goreng pisang panas pada waktu tengah hari, panas ni,” Cikgu Din membuat rancangan.

“Cantik plan tu cikgu, tapi tak susah kan cikgu ke?” Kata 2 pula.

“Susah apa, memang dah ada pisang Nipah ni. Orang kampung yang bagi. Kat sini kalau sayur atau buah kampung senang dapat tak payah beli. Kalau herba atau buah hutan orang Asli akan bagi. Itu keunikan sekolah kat sini. Lagi satu anak orang melayu dan anak orang Asli belajar dalam satu bangunan yang sama. Tanpa ada rasis,” jelas Cikgu Din
.
“Berapa ramai semua anak murid kat sini, cikgu?” Tanya aku.

“Dalam 200 orang,” Cikgu Din menjawab soalan aku.

“Kalau sayur dan barang keperluan kampung cikgu beli tentu ada diskaun kan, murah,” tanya 2.

“Tak beli, macam saya cakap tadi, pisang , sayur kampung, ikan jeram atau lain-lain. Orang kampung dan orang Asli bagi, percuma. Cuma barang kampung, kalau nak buah Epal kena belilah, hehehe,” kata Cikgu Din sambil ketawa. Agak kuat gelaknya. Aku dan 2 turut ketawa.

“Termasuk gak Milo memang kena beli,” sampuk aku. Gelak kami semakin kuat.

Sebenarnya kami berada di rumah Cikgu Din. Rumah cikgu bujang yang mengajar di situ. Rumah yang mempunyai dua bilik. Rumahnya yang tidak berapa besar, mungkin ala rumah kos rendah kalau di bandar. Cuma di sini rumahnya diperbuat daripada papan.

Sementara Cikgu Din sedang mengoreng pisang. Aku dan 2 di ruang tamu membelek majalah yang terletak di meja kecil.

Majalah merupakan salah satu perkara yang melekakan atau menghilangkan boring pada masa itu. Kalau sekarang perkara yang melekakan mestilah membelek telefon, melayan Facebook sambil membaca cerita Zambri Perasan, hehehe.

“Assalamualaikum encik semua,” satu suara memberi salam di pintu hadapan.

“Waalaikumussalam,” serentak aku dan 2 menjawab.

“Kenalkan Saya Cikgu Jalil,” kata seseorang yang bertubuh kurus, tinggi.

“Saya, 2 dan kawan saya ni Botak,” 2 memperkenalkan diri juga.

“Botak, 2 ni housemate saya,” kata Cikgu Din sebaik emmunculkan diri di ruang tamu.

Selepas itu kami berbual dengan kawan-kawan baru yang berjawatan cikgu. Sambil berbual kami menikmati hidangan pisang goreng panas yang disediakan oleh Cikgu Din.

Senyap suasana seketika apabila aku dan 2 melantak goreng pisang. Kami tidak bagi peluang langsung, laju sekeping demi sekeping pisang goreng masuk ke dalam mulut.

Bagi aku dan 2, bukan senang hendak dapat menu macam ini apabila masuk ke dalam hutan. Sedang aku dan 2 tidak ingat dunia melantak.

Tiba-tiba, fokus kami terganggu apabila Cikgu Din bersuara.

“Botak, petang ni Saya dengan Cikgu Jalil akan masuk ke dalam hutan, tidur semalam. Pancing dan tahan pukat. Kalau awak nak ikut sama memang dialukan,” pelawa Cikgu Din.

“Cikgu berdua saja ke yang pergi?” Tanya 2.

“Ya, kalau group cikgu, kami berdua saja. Kami ikut anak orang Asli. Dua orang, memang pakar,” jelas Cikgu Jalil.

“Kat mana cikgu tu? Jeram yang nak menuju base kami ke? Yang ada jambatan balak?” Tanya aku.

“Tak, tu jeram lain, jeram kecil. Ada jeram besar lagi kalau dari sekolah ni, awak jalan ke atas lagi dalam 2 jam. Lepas kampung orang Asli.

Cantik, Botak. Awak tentu biasakan tempat macam tu kan. Macam mana nak ikut tak?” Kali kedua Cikgu Din pelawa kami.

“Terima kasih cikgu, atas ajakan tapi saya tak dapat ikut sebab tak dibenarkan keluar jauh dari base. Kawasan sekolah ni yang paling jauh saya boleh berjalan. Lagi pun dua hari lagi saya akan gerak masuk hutan, jadi kena rehat puas-puas,” jawab aku.

“Oh ya ke? Ingat Botak lama kat sini. Insya Allah ada rezeki nanti kita jumpa,” kata Cikgu Din.

“Insya Allah cikgu,” perlahan aku bersuara. Aku dan 2 meninggalkan rumah Cikgu Din dalam pukul 1 petang. Aku tidak mahu menganggu Cikgu Din dan kawannya membuat persiapan untuk aktiviti mereka.

***

Pagi di pinggir hutan menyebarkan suasana yang segar dan asli. Kesejukan terasa bak menggigit hingga ke tulang putih membuatkan aku menggigil seluruh tubuh. Kabus berarak perlahan melintasi isi hutan. Bagaikan bermesra kabus dengan kehijauan hutan.

Burung jantan yang hinggap di dahan, berkicau merdu untuk memikat pasangan. Berdepa, terbuka kepak si burung jantan apabila usikan menjadi kenyataan.

Segala isi hutan saling menyambung antara satu sama lain. Masing-masing ada peranan dan tugas. Dan mengalir semuanya menjalankan urusan.

Terkesima aku melihat panorama sekeliling. Terpegun dan termenung sejenak mengagumi kebesaran Tuhan. Titisan embun di hujung daun terjuntai menunggu masa untuk jatuh ke tanah.

Bersih dan jernih titisan embun yang penuh khasiat. Benarlah kata orang tua-tua, air mandian pahlawan tika saat dulu. Bagi aku cukup menghayati sahaja. Mandiku ala P. Ramlee sahaja. Hehe…

Aku masih ingat lagi dalam pukul 9 pagi ketika aku sedang melantak sarapan pagi. Suasana hening pagi, tercemar dengan bunyi bising motor. Bunyi itu menuju ke arah base aku. Aku, kawan-kawan termasuk Ketua berdiri menunggu siapa gerangan yang datang. Kami saling berpandangan sesama sendiri.

Kelibat penunggung motor masih tidak kelihatan kerana batang pokok dan pokok yang merimbun menghalang pandangan kami. Bunyi motor jelas dan semakin dekat.

Akhirnya sebuah motor berwarna biru muncul di hapan kami. Cara pemanduannya agak laju kerana ingin cepat. Sebaik sahaja motor berhenti di hadapan kami, ada dua orang pemuda yang berwajah resah.

“Encik tolong kami! Tolong encik!” Itu kata-kata yang terlontar dari mulut salah seorang penunggang motosikal.

Aku lihat wajahnya gusar dan berpeluh. Nafasnya kencang turun naik. Panik gerak tubuhnya. Aku pasti lelaki yang berumur dalam 30-an itu Orang Asli. Dari segi slang bahasa dan fizikalnya.

“Bertenang encik, bawa bersabar. Duduk encik,” kata Ketua. Lelaki itu akur akan kata Ketua. Salah seorang kawan aku menghulur cawan hijau berisi air kepada kedua-duanya. Ketua biarkan kedua-dua lelaki itu minum, melepaskan lelah dan bertenang.

“OK encik, apa yang boleh saya tolong dan apa yang berlaku?” Perlahan suara Ketua sambal melihat wajah mereka.

“Cikguuu! Cikgu Din hilang,” pantas lelaki itu menjawab.

“Cikgu Din hilang? Bila?” Sampuk aku dengan wajah terkejut. Terkejut amat.

“Botak, awak kenal ke cikgu tu?” Tanya Ketua mengalihkan pandangan ke arah aku.

“Kenal Ketua. Dua kali saya pergi ke sekolah. Cikgu Din, cikgu pertama saya kenal dan saya banyak berbual dengannya,” terang aku sambil membalas pandangan Ketua.

“Baik, apa yang dapat saya tolong?” Tanya Ketua, mengalih pandangan semula ke mereka.

“Tok Batin dan Ketua Kampung nak jumpa encik di sekolah,” kata salah seorang daripada mereka.

Ketua diam hanya merenung wajah mereka. Berfikir lagak ketua.

“4, awak tunggu sini. Saya lantik awak sebagai ketua semasa ketiadaan saya. Pergerakan kita esok, kita tangguh. Botak,1, dan 2 ikut saya.

Jom encik. Kita pergi ke sekolah,” tegas nada suara Ketua.

Ketua faham apa yang dimaksudkan dengan perkataan “Tolong”. Misi pencarian atau penyelamat akan berlaku. Misi pencarian selalunya memakan masa yang lama. Itu pengalaman kami.

Kami seramai empat orang berjalan kaki menuju ke sekolah. Sampai di kawasan sekolah, aku lihat sudah ramai orang. Ada penduduk dari kampung Melayu dan penduduk dari kampung Asli. Begitu juga dengan kumpulan cikgu-cikgu. Mereka berkumpul di kantin sekolah. Sebaik nampak kelibat kami, Ketua Kampung, Tok Batin dan Ketua Sekolah menghampiri kami.

“Terima kasih encik kerana datang. Encik tentu sudah tahu apa yang berlaku. Seorang cikgu yang mengajar di sekolah ni telah hilang semasa menangkap ikan. Kami semua berharap pihak encik sudi membantu kami mencari cikgu itu,” kata Ketua Sekolah.

“Insya Allah kami akan cuba membantu setakat yang mampu. Bila cikgu tu hilang?” Tanya Ketua di depan Ketua Sekolah.

“Mengikut kata Damak pagi ni mereka baru sedar yang cikgu tu hilang,” Ketua Sekolah berkata sambil menunjukkan seseorang. Orang yang pergi bersama dengan Cikgu Din. Bernama Damak.

“Damak, awak ada di tempat kejadian. Boleh awak cerita apa yang berlaku?” Tanya Ketua berdepan pula dengan lelaki kurus berkulit hitam itu.

“Boleh encik. Aku pergi empat orang. Petang semalam kitaorang pergi. Pada hari malam, Cikgu Din ada. Pagi ini kitaorang baru sedar Cikgu hilang. Puas kitorang jerit, cari tapi tak jumpa,” jelas Damak. Aku diam, dalam fikiran aku teringat kata-kata Cikgu Din. Dia akan ke sana seramai empat orang.

“Cikgu Jalil kat mana?” Sampuk aku.

“Cikgu Jalil ada di sana dengan kawan aku,” jelas lelaki itu.

Aku diam apabila mendengar kata Damak. Setelah berbincang dan berbincang kami akan pergi ke tempat kejadian dengan menaiki empat buah motor. Aku,1, 2 dan Ketua. Orang Asli, Damak dan Tok Batin. Dua orang lagi ialah penduduk kampung Melayu.

Pada permulaan perjalanan, jalan balak kami lalui. Aku menumpang motor orang Melayu. Jalan balak lama, begitu mencabar dan sulit.

Permukaan tanah tidak sekata, ditambah lagi permukaan tanah yang berlubang. Tunggul kayu yang terjulur ke jalan ibarat “makan jalan”.

Boleh tergadak badan jika terkena. Semua itu kena berhati-hati dan fokus. Hampir semua pergerakan motor tidak stabil bagaikan menunggung kuda liar.

Anak mata aku tertumpu pada sebelah kiri. Beberapa buah rumah papan terdapat di tepi jalan. Ada banyak lagi rumah yang hanya menampakkan bumbung di celah-celah pokok hutan. Aku pasti itu penempatan Orang Asli.

Tayar motor terus bergolek menuju ke atas lagi. Kali ini tayar motor mula mendaki permukaan tanah yang menaik. Bergema keadaan sekeliling apabila pulasan minyak dilakukan. Bergegar, bergoyang aku yang duduk di belakang. Pada pendapat aku, mereka yang membawa kami ini pakar dalam pemanduan. Biasalah tempat mereka mencari makan, mencari hasil hutan.

Kami telah berada di kawasan tanah tinggi. Angin yang bertiup terasa berair (faham kan). Terasa sejuk, lembap apabila tersapa di kulit muka. Pokok hutan atau pokok balak kelihatan merapat. Kawasan hutan tebal kami berada sekarang. Hujung dahan pokok hutan terlihat.

Tebal dan merimbun daun setiap pokok. Subur dan menghijau. Aku pasti kawasan itu belum diteroka. Belum dinodai dengan rakus oleh tangan ghaib, berkepala hitam. Tayar motor bergolek di permukaan tanah menurun pula. Dah macam pelesit lajunya motor.

Setelah berminit-minit menurun, tayar motor bergolek di permukaan tanah rendah, rata. Pemandangan pokok renek atau merata merimbun. Sesekali diselangi dengan batang pokok balak yang besar. Dari laluan balak, tiba-tiba tayar motor menukar laluan, bergolek tayar memasuki laluan kecil lagi sempit.

Jalan kecil yang dipanggil “denai” bagi sesetengah orang. Denai itu kami lalui dengan berhati-hati kerana kecil dan tiada penanda. Jolokan dahan kecil sentiasa terjulur keluar ke arah denai. Jika tersalah cara, bisa mencalarkan muka dan menyebabkan terbabas. Dalam aku melihat ke hadapan.

Brap! Brap! Cuping telinga aku tertangkap satu bunyi. Bunyi yang bising. Bukan bunyi mencurigakan tetapi bunyi deruan air yang kuat.

Pantas aku melihat ke kanan. Aku tidak nampak apa-apa. Hanya terlihat cerun, aku pasti ada jeram berada di sebalik cerun itu.

Tayar motor terus melalui denai, sekejap tayar membelok ke kanan dan sekejap tayar membelok ke kiri kerana mengelak halangan yang ada.

Akhirnya semua motor berhenti pada permukaan tanah yang rata tapi bertebing. Aku turun dari motor, menapak dalam beberapa langkah ke hadapan merapatkan tubuh aku di tebing. Dalam pandangan yang agak jauh, aku tetap terpegun apabila di depan aku bagaikan sebuah lukisan alam yang mempesonakan.

Bunyi aliran air di jeram yang besar, bagai mencipta irama yang tiada noktah. Bunyi yang melekakan jika dinikmati. Arus yang laju, melanggar batu-batu pantas terangkat arus itu bagaikan berombak kecil kemudian arus itu menyambung mengalir ke hilir. Hijau warna air, menjadikan tenang mata yang melihat. Aku lihat ke arah hulu aliran jeram, terdapat lubuk yang besar.

“Encik, Kita turun bawah,” kata salah seorang orang Asli.

Semasa melangkah turun itu, anak mata aku tidak jemu melihat sekeliling. Kini aku menikmati keindahan dalam jarak dekat. Ketulan-ketulan batu berselerakan kanan dan kiri tebing. Ada juga ketulan batu yang terbenam di dalam air.

Pelbagai saiz ketulan batu itu. Hanya satu warna yang aku lihat pada ketulan batu itu iaitu berwarna hitam. Landskpa yang indah tercipta.

Aku tenung sekali lagi ke arah hulu jeram, lubuk jeram yang besar aku lihat dalam jarak yang dekat.

“Cantik sungguh tempat ni,” kata hati. Tapi aku tetap berhati-hati. Kecantikan hanya di luar, sebaliknya tiada siapa yang tahu.

“Hutan rumah orang, kita hanya tetamu,” kata itu sentiasa mengajar aku berhati-hati apabila berada di hutan.

Jam menunjukkan pukul 2 petang tetapi kawasan jeram sungguh redup. Bagaikan petang hampir ke Maghrib.

Sebabnya, pokok hutan tumbuh merapat sehingga daunnya saling bersentuhan antara pokok. Menjadi bumbung, semua itu menjadi menghalang sinaran untuk menyentuh tanah. Daun-daun kering yang lama dan baru berselerakan membalut permukaan tanah. Lembab dan basah permukaan tanah.

Aku perhatikan Ketua. Tegak renungan Ketua melihat jeram.

Anak mata Ketua tertumpu kepada aliran air di jeram, kemudian anak matanya meliar melihat kawasan sekeliling. Serius wajah Ketua, dalam nafas yang ditarik. Bagi aku, Ketua pakar dalam dunia misteri.

“Botak, terima kasih datang membantu,” kata Cikgu Jalil sebaik aku merapat. Gusar wajahnya ketara.

“Sama-sama cikgu, kenalkan Ketua saya,” kata aku. Ketua menghulur tangan bersalam.Ketua tidak bertanya apa-apa soalan lagi tentang kehilangan Cikgu Din.

“Botak, arahkan orang kita buat tempat tidur. Kita bermalam di sini. Masalah ni akan makan masa,” itu arahan Ketua. Aku menurut. Semasa mencari batang kayu untuk membuat katil gantung. Aku terpandang Tok Batin dan salah seorang anak buahnya sedang melipat sehelai daun yang persis Daun Pandan tapi bersaiz besar.

“Daun Parang ke?” Bisik hati. Tetapi aku tidak bertanya.

Di sekitar jeram sudah mulai gelap. Setelah siap tempat tidur, Ketua meminta aku memanggil semua orang berkumpul. Semua orang duduk dalam satu bulatan. Sepuluh orang semuanya. Semua wajah melihat ke arah ketua.

“Cikgu, saya nak awak ceritakan daripada mula sampai hilangnya Cikgu Din,” itu arahan pertama Ketua.

Cikgu Jalil merenung wajah Ketua, mimik sedih dan gusar wajahnya jelas. Kemudian perlahan matanya bergerak melihat semua orang.

“Saya tak pasti encik, perkara ni berlaku tanda sedar,” perlahan nada Cikgu Jalil.

“Awak ceritakan biar semua orang tahu,” ulang Ketua.

“Kami sampai sini, petang. Setelah siap buat khemah dan lain-lain, kami terus membuat aktiviti kami. Saya dan Jaki terus memancing di kawasan jeram depan ni. Manakala Cikgu Din dan Damak pergi memasang pukat kat lubuk atas tu. Pada mulanya semua takde apa-apa.

Saya dan Jaki happy sangat sebab kami dapat ikan awal dah tentu boleh buat lauk malam nanti. Bila hari makin gelap saya dan Jaki berhenti memancing dan pergi ke tempat khemah. Kami bersedia untuk memasak. Tapi Cikgu Din dan Damak masih berada di kawasan lubuk.

Saya ingat dalam Pukul 7 lebih baru mereka datang ke tempat khemah. Saya lihat, mereka gelak besar sambil memegang seekor ikan yang besar,” tepat mata Cikgu Jalil melihat wajah Ketua semasa bercerita.

“Ikan apa yang mereka dapat?” Tanya Ketua.

“Ikan Sebarau,” celah Damak. Menoleh Ketua ke kiri melihat Damak pula.

“Masa memukat, Cikgu Din ada cakap dengan aku, dia ada dengar suara. Aku cakap kat dia aku tak dengar apa-apa. Lepas tu kita orang buat tak tahu terus pukat,” sambung Damak.

“Takkan kau tak dengar suara tu,” desak Tok Batin pula.

“Tak dengar Tok,” jawapan sama diberikan Damak.

“Tapi encik, ikan tu pelik sekali. Ikan tu takde sisik. Warna gelap, kehitaman. Mata merah menyala,” kata Cikgu Jalil. Aku terkejut ketika mendengar penjelasan Cikgu Jalil. Setahu aku Ikan Sebarau bersisik, berwarna putih, hitam dan merah sikit.

“Apakah awak yakin Ikan Sebarau awak dapat?” Tanya Ketua.

“Memang fizikalnya macam Ikan Sebarau. Tanyalah Jaki dan Damak. Kami tergelak masa tengok ikan tu. Sampai kami gelarkan “Sebarau cacat”. Kami plan nak bawa pulang ikan tu,” walaupun perlahan Cikgu Jalil bercerita tetapi tegas nadanya.

“Tak kan kau tak tahu kalau jumpa benda pelik-pelik ni tentu ada akibat,” celah Tok Batin. Kata itu, Tok Batin tujukan kepada Damak.

“Maaf Tok, aku tak ingat masa tu sebab tengah suka,” jawab Damak, tunduk mukanya.

“Mana ikan tu?” Tanya Ketua.

“Ikan tu hilang sebaik Cikgu Din hilang,”

Ketua diam, hanya dipandang wajah Cikgu Jalil. Cikgu Jalil juga saling berpandangan kemudian dialih melihat ke arah lain. Dilepaskannya pandangan jauh ke arah lubuk.

“Tapi encik, sejak kehilangan Cikgu Din ada sesuatu yang menganggu fikiran saya,” teragak-agak nada Cikgu Jalil. Pandangan ke arah lubuk kekal.

“Kenapa cikgu?” Tanya Ketua.

“Tunggul kayu di lubuk itu. Saya rasa tidak ada semasa kami datang. Tapi sejak kehilangan Cikgu Din tunggul kayu itu ada, muncul tiba-tiba,” Mata Cikgu Jalil merenung ke arah itu.

Aku pantas melihat ke arah lubuk itu. Prap! Suluhan lampu menghala ke arah itu. Bukan satu suluhan tapi suluhan lampu kawan-kawan yang lain turut dihala ke situ. Jelas! Berdiri gagah sebatang kayu sebesar dua pemeluk dewasa berada di situ.

Kayu tidak berdaun itu tinggi dalam tiga puluh kaki dari permukaan air. Putih seluruh batangnya. Berada di dalam lubuk dalam jarak mungkin lebih lima puluh kaki dari tebing. Jika tidak menyuluh dengan lampu pun akan nampak tunggul kayu itu sebab putih sangat.

Semua mata tertumpu ke arah lubuk dan tunggul kayu.

“Bila kali terakhir awak nampak Cikgu Din?” Tanya Ketua lagi.

“Saya tak pasti, mungkin dalam pukul 11 malam. Masa tu Cikgu Din bangun buang air kecil, mungkin,” kata Cikgu Jalil sambil menundukkan wajahnya. Setelah mendengar cerita Cikgu Jalil, Ketua melihat ke arah Tok Batin.

“Tok, mari kita teruskan kerja kita. Hari ini kita buat semampu yang boleh,” kata Ketua.

“Baik encik, aku dapat rasakan cikgu ni bukan hilang biasa tapi kena sorok,” jelas Tok Batin. Ketua hanya diam.

Semua orang mula bergerak, berpecah kepada beberapa kumpulan. Aku, 2 dan Jaki berjalan menuju ke lubuk itu. Dari tebing, anak mata aku melekat melihat tunggul kayu yang berada di tengah lubuk.

“Tempat ni dah berapa kali aku pergi, sebelum ni memang takde kayu tengah lubuk ni,” jelas Jaki yang bertubuh agak tinggi. Aku hanya diam, wajahnya aku renung. Aku terus berjalan sehingga ke gigi air. Sebaik kaki aku menyentuh ke air.

“Ahhh!” Aku terkejut apabila air lubuk terasa panas. Terangkat kaki aku. Aku melompat ke tanah semula. Aku merasa pelik, kasut boot aku yang tebal masih boleh terasa hangatnya air itu. Sepatutnya dalam keadaan hampir malam dan berada dalam hutan. Air jeram pasti sejuk.

Bukannya aku pergi Hot spring. Itu fakta. Aku membongkok tubuh, aku nekad menyentuh permukaan air dengan tapak tangan. Agak was-was pergerakan aku. Prap! Tapak tanganku menyentuh air.

“Eik!” Aku pelik kerana airnya terasa dingin dan sejuk pula. Aku hairan dengan apa yang berlaku tetapi aku diamkan. Dua orang kawan aku mungkin tidak kena apa yang aku kena kerana mereka tidak berkata apa-apa. Jika mereka kena pasti mereka bersuara. Aku simpan perasaan pelik di dalam hati.

Aku dapat memantau setengah kawasan lubuk saja kerana setengah kawasan lagi berdinding batu.

Ya! Lubuk itu berlatarkan dinding batu yang tinggi. Malam sudah menunjuk wajahnya. Kegelapan merayap di segenap sudut hutan. Cahaya lampu suluh kekal sejak tadi, ligat memancarkan cahaya ke setiap sudut. Cahaya suluhan dari kumpulan yang berdekatan turut kelihatan.

“Jom semua kita balik ke khemah,” arah aku pada kawan-kawan.

Sebaik sampai kawasan khemah, aku lihat semua orang berada d itepi jeram yang berarus. Aku lihat, Tok Batin sedang melakukan sesuatu.

Tok Batin dibantu oleh Damak. Tok Batin memakai lilitan daun di kepala. Lilitan yang disulam dengan daun hutan kelihatan seperti mahkota. Aku tidak pasti jenis daun yang digunakan. Hendak katakan daun kelapa, di kawasan sekitar tidak ada pokok kelapa.

Suluhan lampu aku, melekat di tangan Tok Batin. Ada sebuah bekas yang diperbuat daripada daun hutan. Di mana hujung setiap daun itu dicucuk dengan runcing kayu kecil. Merapat semua daun itu seperti sebuah mangkuk. Sekejap! Untuk senang faham. Tahukan “Kuih Tepung Pelita”.

Bekas kuih itu bersegi empat. Bekas yang diperbuat oleh Tok Batin berbentuk agak bulat. Di dalam bekas itu ada serbuk-serbuk halus atau hirisan kecil. Yang itu aku tidak tahu apakah serbuk-serbuk itu. Mungkin tumbuhan hutan atau sebaliknya.

Ada bacaan mentera yang kedengaran semasa Tok Batin melangkah kaki masuk ke dalam air yang berarus itu. Tok Batin berjalan melawan arus. Tok Batin berjalan hingga ke paras pinggang. Berhenti Tok Batin di situ. Brap! Tok Batin melempar bekas daun itu ke arus yang mengalir agak laju di depannya. Semua suluhan lampu tertumpu di bekas daun itu.

Pada mulanya bekas itu bergerak mengikut arus air, belayar. Tetapi dalam beberapa detik. Brap! Bekas daun itu berhenti dan terapung-apung kemudian bekas itu berpusing. Berpusing perlahan dan setempat. Aku masih dapat mendengar bacaan mentera dari mulut Tok Batin.

Tajam renungan Tok Batin melihat bekas daun itu. Bekas itu masih terapung dan berpusing di situ.

Dalam beberapa detik seterusnya. Bekas itu mula berpusing dengan laju. Sing! Sing! Dalam keadaan berpusing, bekas daun itu bergerak melawan arus.

Berbunyi tatkala bekas itu merempuh arus. Ya! Bekas itu bergerak melawan arus bagaikan sebuah kapal kecil. Sesuatu yang sama sekali tidak dapat diterima oleh akal manusia yang normal. Berdebar-debar hati aku melihat apa yang berlaku.

Bekas daun itu terus berpusing dan bergerak menuju ke arah hulu. Jelas ternampak arus air terbelah dua apabila bekas itu merempuh air yang mengalir itu. Tok Batin mengikut dari dalam jeram. Mengikut bekas daun itu dari belakang. Manakala kami mengikut di daratan.

Bekas itu bergerak sehingga menuju ke kawasan lubuk. Apabila masuk ke kawasan lubuk tiba-tiba bekas itu bergerak perlahan tidak laju seperti tadi. Gerakan perlahan, lemah akhirnya dan bekas itu berhenti. Terapung-apung bekas daun itu. Terhanyut tidak tentu arah apabila bayu malam bertiup.

Grap! Grap! Grap! Kedengaran bunyi dari dalam lubuk. Bunyi yang garang seakan marah. Bergegar tunggul kayu pula. Serentak itu juga satu gelombang muncul di permukaan air. Gelombang yang besar itu memukul bekas daun.

Pecah bekas itu. Daun-daun bertaburan di permukaan air. Terapung-apung, terhanyut daun-daun itu entah ke mana apabila ditiup angin.

“Memang Cikgu Din disorakkan tapi tempat yang tepat tak dapat tahu. Benda tu kuat, benda tu telah halang petunjuk aku,” keluh Tok Batin.

Aku merasa kecewa, Cikgu Din tidak dapat diselamatkan secepat mungkin.

“Cikgu tu masih hidup, kita semua kena cepat cari. Kalau tak cikgu tu tak dapat diselamatkan kerana akan tersesat selamanya ke dunia lain.

Yang pasti kawasan lubuk ni tempatnya,” jelas Tok Batin. Ketua diam pada mulanya. Aku pun diam, hanya melihat kawasan lubuk. Lubuk yang seluas suku pasang bola.

“Takpe tok, jangan putus asa. Kita Cuba lagi. Banyak lagi cara Kita boleh cuba. Tok naik dulu dari air tu,” kata Ketua memberi semangat pada ketua Orang Asli itu. Malam itu kami masak dan makan bersama-sama.

“Kita jangan mudah putus asa, benda tu suka pada orang yang lemah. Tok teruskan dengan cara Tok. Kami akan lakukan dengan cara kami,” kata Ketua selepas makan.

“Baik encik, Kita dah tahu kawasan lubuk tu tempat Cikgu Din disorokkan. Tunggul tu tentu ada ceritanya,” kata Tok Batin pula.

“Kita akan cari cara supaya Cikgu Din keluar ke alam nyata,” jelas Ketua. Aku dan lain hanya mendengar saja perbualan antara dua ketua.

“Botak, nanti awak dan 2 ikut saya. Kita tinjau sebelah sana,” kata Ketua sambil menuding jari. Aku memandang arah jari Ketua. Aku pasti arah dinding batu, bahagian yang aku tidak dapat pergi tadi.

“Baik, Ketua,” kata aku dan 2.

Kami bersolat lewat pada malam itu. Selepas bersolat Jemaah, kami bersiap untuk menuju ke dinding berbatu itu. Kami mengharungi arus jeram di depan khemah hingga ke seberang kemudian kami menukar langkah ke kanan. Permukaan tanah mula menaik, tanah lembap dalam pijakan kami.

Melekat sisa tanah pada tapak boot kami. Walaupun malam penuh dengan kedinginan namun peluh yang keluar dari liang rongga kami bagaikan hujan. Meleleh dan membasahi kulit muka. Kami terpaksa ikut jalan ini.

Jika kami mengikut jalan di lubuk, kami terpaksa memanjat dinding batu yang tinggi dan tegak. Itu risiko yang amat membahayakan diri kami. Biar perjalanan kami jauh namun keselamatan terjamin. Itu kata-kata ketua sebelum kami bergerak.

Dalam 30 minit berjalan, kami sampai di tempat yang di tuju. Kami berdiri betul-betul di tebing yang di bawahnya lubuk tempat kehilangan Cikgu Din. Cahaya suluhan aku dan 2 melilau di permukaan air di lubuk. Segala sudut kami halakan dengan suluhan lampu.

Aku pula lebih banyak menghalakan suluhan ke tunggul kayu. Tiap kali terkena suluhan, warna kayu itu putih seputihnya bak kain kafan.

“Padam suluhan kamu,” tiba-tiba Ketua memberi arahan. Perlahan suara Ketua.

Kami menurut. Prap! Butang lampu suluh kami lepaskan daripada menekan. Serentak itu juga gelap gelita sekeliling kami.

“Jangan bersuara. Lihat saja,” kata Ketua dalam nada berbisik.

Kami menurut lagi. Anak mata kami tertumpu, bersatu memandang lubuk itu. Dalam kegelapan malam itu, telinga aku dapat menangkap ada bacaan Al Quran yang kedengaran daripada mulut Ketua. Pantas aku dan 2 mengikut bersama membaca ayat Al Quran.

Kegelapan masih kekal, suara cengkerik berirama tanpa not dan bunyi arus jeram tiada terhenti. Kami masih melihat, walaupun hanya kegelapan menjadi milik mata. Grap! Grap! Aku terkejut apabila terdengar satu bunyi di kawasan lubuk itu. Bunyi itu seperti geseran batu yang berlaga.

“Jangan buat apa-apa,” bisik Ketua. Tidak lama selepas Ketua berkata, kedengaran seperti bunyi air, air yang bergelora. Sungguh! Kami tidak nampak hanya telinga yang membuat andaian. Serentak itu permukaan air di lubuk itu, bertukar warna. Warna yang semakin lama menjadi semakin terang.

Akhirnya seluruh kawasan lubuk itu terang benderang dengan warna merah. Merah bagaikan api yang sedang menyala. Termasuk juga tunggul kayu itu turut berwarna merah menyala.

Warna merah itu datang dari dalam air, mungkin dasarnya. Warna merah yang pekat itu hingga terpancar bayangan ke wajah kami. Kami hanya mampu melihat sahaja. Tetapi tidak bagi Ketua yang mulutnya ligat berzikir pula. Grup! Grup! Air di permukaan lubuk bagaikan menggelegak lava gunung berapi.

Mata aku terpegun. Wajah aku tergamam. Hati aku berdebar-debar.

“Benda itu sedang marah pada Kita. Ni seperti amaran untuk Kita. Kita jangan takut. Allah ada bersama Kita,” kata Ketua dalam nada perlahan. Mata Ketua tepat melihat lubuk. Dalam beberapa minit, keadaan menjadi tenang semula. Tiada bunyi dan tiada lagi warna merah.

Lubuk itu menjadi tenang seperti sedia ada.

“Jom kita balik,” arah Ketua. Sebaik sampai ke khemah Ketua tidak membenarkan kami bercerita kepada sesiapa. Seketika Tok Batin menghampiri kami.

“Encik, kita sambung esok. Kita rehat dulu,” kata Tok Batin.

Ketua hanya mengangguk kepala. Semua orang menuju khemah masing-masing. Aku, 1, 2 dan Ketua dalam satu kumpulan. Kedudukan kami berdekatan. Kami seperti biasa membuat katil gantung. Seluruh kawasan khemah senyap dari perbualan manusia. Hanya unggun api yang menyala.

Cahaya dan kehangatan unggun api menguasai kawasan sekitarnya.

Semua orang telah tidur, mungkin tidur mereka tidak selena seperti biasa kerana memikirkan kehilangan kawan, terutama Cikgu Jalil. Itu sangkaan aku, tetapi kenyataannya tidak. Ketua masih berjaga melakukan kegiatan agama. Ada Solat Sunat dilakukan. Ada bacaan Al Quran dan Zikir dilakukan.

Dalam pukul 3 pagi. Terbuka mata aku, cara terpaksa. Aku bingkas bangun. Aku terdengar bunyi kekecohan di kawasan jeram. Suara kawan-kawan. Aku lihat semua orang berdiri di tebing jeram. Wajah mereka terpinga-pinga. Aku berdiri antara mereka sambil melihat ke arah air jeram.

Sungguh! Ada bunyi yang bergema, diiringi dengan laungan yang datang dari dalam air. Bunyi yang mengerikan. Bunyi yang bergema itu saling bersahutan di jeram hadapan tempat khemah hingga ke kawasan lubuk.

Aku amati betul-betul. Bunyi itu sebenarnya suara. Aduh! Aku tidak tahu bagaimana hendak terangkan cara tepat. Aku andaikan seperti suara penyanyi soprano orkestra yang bernada tinggi dan garau.

Bunyi suara itu bukan datang dari satu seorang tetapi ramai. Tetapi suara siapa? Walaupun dikelilingi kawan-kawan, anak mata aku mencari seseorang, mencari Ketua, tiada. Laju langkah aku menuju ke tempat tidur Ketua.

Ada! Ketua sedang membaca Al Quran. Al Quran kecil yang sentiasa dibawa Ketua masuk ke hutan. Itu hakikat, aku saksinya. Aku tidak menegur Ketua.

Aku duduk bersila di tanah bersebelahan katil gantung Ketua. Aku mengikut setiap sebutan bacaan Ketua. Aku tahu sekarang kenapa jeram itu menjerit marah. Penghuni hutan tidak senang atau marah dengan kehadiran kami. Apatah lagi kehadiran kami diselangi dengan tertib keIslaman.

“Biarkan Botak, apa yang berlaku. Jangan takut,” kata Ketua tanpa melihat aku. Terhenti bacaan Ketua.

Anak mata Ketua tepat melihat muka surat Al Quran dengan bantuan cahaya lampu suluh. Aku diam, tanda faham. Masuk waktu subuh, semua bunyi itu hilang. Ketua mengajak aku dan kawan-kawan menunaikan solat subuh berjemaah. Kami hanya dapat tidur dalam 2 hingga 3 jam sahaja.

***

Seperti biasa kami bersarapan bersama. Selepas sarapan, kami berkumpul dan berbincang.

“Cikgu, boleh saya bertanya. Cikgu Din tidur beralaskan apa? Maksud saya yang digunakan untuk buat bantal?” Tanya ketua.

“Baju, tak salah saya. Kenapa encik?”

“Boleh bagi saya baju tu,” minta Ketua.

“Jap saya ambil,” jawab Cikgu Jalil sambil bangun. Aku melihat Cikgu Jalil menapak menuju ke khemah. Khemah yang biasa digunakan oleh peminat hutan. Khemah yang boleh memuatkan dua orang. Seketika Cikgu Jalil keluar. Di tangan kanannya tergenggam sehelai baju sejuk berwarna gelap.

“Encik, ni baju yang digunakan oleh Cikgu Din untuk membuat bantal,”

Baju itu bertukar tangan. Ketua melihat tepat dan lama baju itu yang berada dalam genggamannya. Aku tidak tahu apakah yang akan dibuat oleh Ketua. Apa yang pasti Ketua tahu apa yang dia akan lakukan.

“Boleh saya simpan baju ni?” Tanya Ketua.

“Silakan encik. Tolong saya, encik dapatkan kawan saya. Saya berharap kawan saya kembali, ditemui,” rayu Cikgu Jalil.

“Insya Allah, sama-sama kita berdoa,” kata Ketua.

Selesai berkumpul, pencarian diteruskan. Kali ini Ketua arahkan dua kumpulan membuat tinjau luar dari kawasan kejadian. Kumpulan satu, terdiri dari aku dan Cikgu Jalil. Kumpulan dua, terdiri dari 2 dan Jaki. Damak seperti biasa akan bersama Tok Batin. Selebihnya bersama dengan Ketua.

Kumpulan aku, akan berjalan ke arah hilir jeram. Kumpulan 2, akan berjalan ke arah hulu jeram. Dalam melangkah pergi aku sempat menoleh ke belakang. Aku lihat Ketua dan tiga orang lagi menuju ke arah lubuk.

“Tentu ada sesuatu yang akan dilakukan oleh Ketua hari ni,” bisik hati aku.

“Botak, kenapa Ketua kamu arahkan kita berjalan ke sini? Tok Batin kata di lubuk tempat hilangnya Cikgu Din,” Tanya Cikgu Jalil.

“Betul tu cikgu. Ketua saya tentu ada sebab. Cuma saya tak tahu sebabnya. Saya cuma ikut arahan. Itu prinsip kerja saya,” jelas aku.

Ada satu perkara yang aku rahsiakan dengan Cikgu Jalil atas arahan Ketua. Aku terpaksa menipu kawan aku, Cikgu Din. Cikgu Jalil hanya melihat aku tanpa berkata apa-apa. Tiada lagi perbualan antara kami. Kami terus menghayun kaki meneruskan tugas yang diberikan. Tapak kaki kami menapak di tepi tebing jeram.

Air jeram makin deras menuju ke arah hilir. Landskap batu-batu sentiasa memenuhi gigi air atau di dalam air. Dalam mata meliar melihat itu. Prap!

Terhenti anak mata aku. Mata aku tertumpu pada batang kayu yang tumbang di dalam air. Aku matikan langkah. Mata aku tidak berganjak, tetap melihat ke situ. Cikgu Jalil menghentikan langkah juga apabila melihat perbuatan aku.

“Kenapa Botak?” Tanya Cikgu Jalil perlahan.

“Cikgu nampak tak apa yang saya Nampak?” Tanya aku. Cikgu Jalil melihat ke arah pandangan aku. Bergerak-gerak kepala Cikgu Jalil fokus mencari apa yang aku nampak.

“Tak nampak apa-apa pun Botak,”

Aku tidak tunggu lama terus aku melompat masuk ke dalam air. Air yang separas peha itu aku harungi. Perlahan langkah dek melawan arus yang memukul kaki.

Kepayahan tetap ada tetapi aku kuatkan kaki melawan arus. Cikgu Jalil turut berada di dalam air. Cikgu Jalil hanya mengikut apa yang aku melakukan tanpa tahu apa-apa.

Terjatuh Cikgu Jalil apabila tolakan arus berlaku di kakinya. Cikgu Jalil tidak bersedia. Basah seluruh tubuh Cikgu Jalil. Aku sampai ke kayu yang tumbang itu. Tangan kanan aku kuat memegang salah satu dahan. Dahan yang licin. Pokok yang telah lama terendam dalam air. Aku menunduk badan sedikit, pantas tangan kiri aku menarik sesuatu.

“Cikgu kenal baju ni?” Soal aku menunjukkan sehelai t-shirt berwarna biru. Baju yang kebasahan dan ada kesan koyakan.

“Eik! Ini baju Cikgu Din. Baju ni dia pakai semasa hilang,”

Aku memegang baju itu. Hampir sejam berjalan, aku berhenti melangkah.

“Setakat ni takde lubuk lagi. Syukur,” itu kata hati aku.

Tujuan tinjauan yang dilakukan ialah untuk memastikan berapa banyak lubuk yang ada berdekatan dengan lubuk tempat hilangnya Cikgu Din. Itu arahan Ketua pada malam tadi. Itulah perkara yang aku tipu Cikgu Jalil.

Ketua mengatakan jika ada lubuk lain berdekatan pasti susah untuk menemukan Cikgu Din kerana “Benda” itu boleh berpindah lubuk. Lubuk menjadi tempat tinggal “Benda” itu.

Syukur! Di bahagian tinjauan aku setakat ini tiada lubuk yang kelihatan. Jarak yang Ketua tetapkan, jangan ada lubuk dalam jarak dua selekoh jeram. Selamat! Bahagian hilir jeram. Sudah tiga selekoh jeram masih tiada lubuk.

“Cikgu, jom kita pulang,” arah aku. Cikgu Jalil menurut.

Sampai saja di khemah, aku terus berjumpa Ketua. Kebetulan kumpulan 2 pun telah pulang dari membuat tinjauan.

“Botak macam mana?” Tanya Ketua.

“Cantik Ketua. Tak ada lubuk walaupun tiga selekoh jeram tapi saya jumpa baju ni. Kata Cikgu Jalil baju ni dipakai Cikgu Din semasa hilang,” aku menunjukkan sehelai baju yang telah lembap. Ketua mengambil baju itu daripada tangan aku. Ketua belek-belek baju itu.

“Cikgu, keringkan baju ni lepas tu simpan baju ni baik-baik. Jangan biarkan di luar khemah,” pesan Ketua pada Cikgu Jalil.

“Baik encik, saya akan buat,” jawab Cikgu Jalil. Aku tidak faham, apa maksud Ketua. Tapi aku tidak bertanya. Baju bertukar tangan.

“Botak, awak pasti takde lubuk dalam dua selekoh jeram,” tanya lagi Ketua.

“Pasti, Ketua. Jeram ni lebih mengalir terus ke hilir. Jika ada selekoh pun tidak ada lubuk,” jelas aku.

“Syukur, kerja kita senang macam tu,”

“2 bagaimana tinjauan awak?”

“Syukur Ketua, tiada satu lubuk selepas tiga selekoh jeram,” jawab 2.

“Syukur pada Tuhan. Tuhan menyenangkan kerja kita,” jelas ketua. Aku dan 2 hanya melihat wajah Ketua.

“Malam ni kita jalankan tugas kita. Sama-sama Kita berdoa agar Tuhan menolong Kita, Insya Allah,” kata Ketua perlahan. Kami menganggukkan kepala tanda akur kepada Ketua.

***

Selepas Solat Isyak, semua orang berkumpul di tepi lubuk. Cahaya lampu suluh berselinap di setiap sudut. Terang kawasan lubuk. Aku lihat di tebing kelihatan sebuah pelantar yang telah didirikan. Aku pasti Ketua dan beberapa orang yang buat semasa aku membuat tinjauan.

Pelantar itu panjangnya dalam lima kaki dan lebar dalam 3 kaki. Sebanyak 8 batang kayu terpacak menjadi kaki di pelantar itu. Pelantar itu dibuat dengan batang kayu. Dan diikat dengan Rotan Lidi.

Keadaan pelantar. Sebahagian di daratan dan sebahagian berada di air. Senang kata gambaran sebuah jeti. Bila aku berhatikan betul-betul, pelantar ini menghadap ke arah Kiblat. Aku tidak tahu jika itu kebetulan. Aku tidak tanya Ketua.

“Botak, 2 masih berwuduk kan?”

“Ya Ketua,”

“Nanti kamu tolong bantu saya, saya nak kamu duduk belakang saya. Sama-sama kita berzikir dan berdoa, Kita mohon pada Allah tolong kita,”

“Berdoa apa Ketua, saya tak tahu,” kata 2. Aku pun tidak tahu doa apa yang patut dibaca.

“Takpe nanti saya ajar. Tok, izinkan saya jalankan kerja,” kata Ketua kepada Tok Batin. Ketua hormat pada orang yang tua darinya.

“Baik encik, minta semua berjalan lancar,” kata semangat Tok Batin yang berada di tebing daratan.

Kami telah berada di atas pelantar. Aku dan 2 berada di bahagian tengah pelantar. Kami berdiri. Aku lihat Ketua berjalan ke depan pelantar.

Mukanya tegak memandang ke arah tunggul kayu di dalam lubuk. Berdirinya tegak, bergaya persis pendekar menunggu tentangan. Pakaian pekerjaan tidak lagi tersarung di tubuh Ketua. Sebaliknya baju sejuk berwarna cerah dan seluar track suit. Berkaki ayam Ketua.

Ketua mara rapat ke arah kami. Ketua bisikan kata-kata doa di telinga kami. Kami mendengar penuh teliti. Ketua menghadap ke depan semula lalu mempamerkan kedudukkan bersila pula.

“Botak, 2 duduk belakang saya. Ingat apa yang saya ajar,” kata ketua. Kami memgambil kedudukan, bersila di belakang Ketua.

Dalam beberapa detik. Ketua memulakan. Bergerak mulut Ketua mengalunkan Zikir, Selawat Nabi, dan beberapa ayat Suci Al Quran. Kami mengikut. Selepas itu, Ketua mengangkat kedua-dua tangan berdoa. Semasa doa, kami baca doa yang diajarkan Ketua, baca di dalam hati.

Selesai, Ketua berubah kedudukan, berdiri pula. Renungan tajam seperti biasa Ketua lakukan. Kami juga ikut berdiri di belakang ketua.

Agak lama Ketua berdiri sambil merenung tajam ke arah tunggul kayu. Kedua tangan Ketua berpeluk tubuh. Ada pergerakan kecil dilakukan Ketua. Di mana kedua tumit kakinya terangkat sehabisnya, dibiarkan beberapa detik kemudian diturunkan semula tumit itu dengan perlahan.

“2 bagi saya baju Cikgu Din,” kata Ketua.

Baju Cikgu Din memang sejak awal 2 yang pegang. 2 menghulur baju itu kepada ketua. Baju yang telah berlipat. Ketua yang lipat baju itu sebelum kami berada di pelantar. Bahagian leher dan lengan baju disorok. Nampak bahagian depan baju saja seperti yang kita lihat di kedai.

Itu saja yang aku nampak jika ada tambahan yang Ketua lakukan aku tidak tahu. Pendapat aku tentu ada tambahan yang dilakukan pada baju itu, contoh doa atau sebagainya. Ketua ubah lagi kedudukannya kembali bersila. Kali ini Ketua bersila betul-betul di tebing pelantar.

Aku dan 2 masih berdiri. Setelah itu, renungan Ketua tidak pernah terpisah melihat tunggul kayu itu. Serius wajah Ketua. Ditarik nafas dalam-dalam.

“Allahu Akhbar!” Bertempik Ketua sambil melempar baju itu sejauhnya ke permukaan air.

Baju itu melayang ke udara dan jatuh terdampar ke permukaan air. Pelik baju yang berlipat itu tidak terbuka atau terlerai dari lipatan.

Nyata! Itu yang berlaku pada baju ituyang masih dalam keadaan berlipat kemas. Tidak masuk akal. Baju itu terapung-apung di permukaan air. Bergerak perlahan mengikut pergerakan air yang ditiup angin malam. Ketua bertukar kedudukan lagi, berdiri. Matanya tepat melihat ke arah baju itu. Lampu suluh sejak awal memainkan peranan. Meliar menyuluh ke arah baju.

“Minta tolong. Buat masa ni jangan menyuluh lagi. Tunggu arahan saya nanti,” arahan Ketua kepada orang yang berada di daratan.

Semua mematikan lampu suluh secara serentak. Nampak ke? Aku dan kawan-kawan tidak nampak jelas, apa lagi warna baju itu gelap.

Pendapat aku, tidak bagi Ketua. Ilmu Ketua luar biasa. Baju itu masih terapung tanpa arah tujuan. Renungan mata Ketua tidak berganjak.
“Cariiii!” Itu jeritan Ketua di dalam kegelapan.

Tiba-tiba bagaikan ada mentol di baju itu. Bercahaya dan terang seluruh baju itu. Aku tidak tahu bagaimana hendak jelaskan warna terang yang terpancar di baju itu.

Warna kuning keemasan pun ada. Warna kuning bercampur putih pun ada. Warna kuning bercampur kemerahan pun ada. Yang pasti terang. Aku dan kawan-kawan dapat melihat baju itu dengan jelas.

Baju itu masih terapung kemudian dengan perlahan baju itu bergerak. Semakin lama semakin laju baju itu bergerak. Seperti ada enjin bot pada baju itu. Baju itu bergerak menuju ke sasaran. Tunggul kayu itu arah tujunya. Terkuak dua air apabila ada arus melanggar baju itu.

Persis Tok Batin dengan bekas daun. Baju itu melakukan tugas mengikut arahan tuannya. Baju itu terus bergerak hingga menghampiri tunggul kayu. Semakin hampir dengan tunggul kayu.

Tiba-tiba, Suasana berubah, terasa angin kuat memukul. Permukaan air mula bergelora kuat, berombak di lubuk. Bunyi yang pelik dan mengerikan kedengaran jelas. Kawan-kawan aku di daratan semua mengambil tempat berlindung. Aku dan 2 cepat-cepat duduk mencangkung.

Mujur batang kayu ada, kami pegang kuat-kuat. Sebelum perkara tidak diingini berlaku. Ketua tegak berdiri, kukuh pacakkan kakinya. Baju dan seluar Ketua bergoyang kuat dek tiupan angin. Tidak berganjak langsung Ketua walaupun seinci.

“Allahu Akhbar, Allahu Akhbar,” Bergema alunan Azan di dalam hutan. Aku, 2 tergesa-gesa bangun dan azan mengikut Ketua.

Keadaan lubuk semakin menjadi tidak tentu arah. Ngauman suara bergema lebih kuat. Ngauman suara muncul bermacam bunyi. Angin bertuip begitu kencang. Daun-daun berterbangan, menggila banyak. Daun-daun yang berterbangan itu, berpuluh, mungkin lebih menampar ke muka aku.

Air di lubuk berombak ganas bagaikan taufan sedang melanda. Ketua tidak menghiraukan semua itu. Aku dan 2 beberapa kali terkalih badan apabila angin kuat itu memukul. Tetapi dalam jiwa kami tertanam rapat, Berpantang undur selagi bernyawa.

Suara azan berkumandangan berterusan di segenap sudut. Baju yang berada di atas permukaan air masih utuh bergerak walaupun halangan yang mendatang. Serentak itu, berubah keadaan sekeliling. Tiada lagi keganasan berlaku. Tenang semula keadaan sekeliling, terutama kawasan lubuk. Semuanya berlaku begitu cepat.

Kami selesai mengalunkan Azan. Baju itu akhirnya sampai ke tunggul kayu. Tersentuh baju itu ke batang tunggul. Baju itu berhenti dan terapung-apung di situ. Ketua masih dalam kedudukan berdiri. Matanya tegak melihat ke arah itu.Serius wajahnya. Nafasnya naik turun tidak teratur.

“Allahu Akhbar!” Ketua laungkan nama yang Esa sambil terangkat kedua tangannya. Kasar pergerakan tangan ketua.

“Aku bersaksi pada yang benar dan aku bersujud pada yang Esa. Kau lepaskan kawan akuuu! Allahu Akhbar!” sekali lagi ketua laungkan nama yang Maha Kuasa.

Dilontarkan suaranya ke arah tunggul kayu. Bergelora air sekitar. Tetapi hanya setempat. Semakin lama semakin kuat gelora itu. Membuak-buak persis air yang sedang mendidih. Dari dalam air, kelihatan satutubuh sedang bergerak laju naik ke permukaan air. Terapung tubuh itu.

Tubuh yang hilang beberapa hari kini di depan mata. Tubuh Cikgu Din.

Tubuh Cikgu Din masih terapung-apung dan bergerak perlahan mengikut pergerakan air yang ditiup angin. Kedudukan tubuh semasa itu berlawanan, di mana bahagian kaki menghadap ke arah baju. Dalam beberapa detik tubuh Cikgu Din bergerak dan berpusing perlahan.

Berpusing seperti jarum jam. Apabila bahagian kepala menghadap ke arah baju. Tubuh Cikgu Din berhenti seketika kemudian tubuh itu bergerak menuju ke baju. Merapat dan bersentuhan kepala Cikgu Din dengan baju itu.

Satu kepelikan berlaku. Seperti anak ayam mencari ibu ayam. Kepala Cikgu Din tidak berada di atas permukaan baju. Sebaliknya hanya rapat dan sentuh baju itu. Biasan cahaya dari baju itu, aku dapat melihat dengan jelas. Cikgu Din seperti sedang tidur. Baju itu seperti bantalnya.

Bila tubuh Cikgu Din telah berada pada kedudukan dikehendaki. Baju itu pula bergerak perlahan dan tubuh Cikgu Din mengikut sekali.

Seperti ada gam, melekat. Kami yang melihat bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat. Cikgu Din bagaikan sedang tidur. Tidur di permukaan air. Hanya Tuhan yang mengetahui semuanya.

“Hanya satu lampu saja dibuka dan kamu semua bersedia di gigi air. Sampai saja tubuh Cikgu Din cepat angkat,” arah Ketua di atas pelantar.

Ketua bersuara tanpa melihat ke belakang.

Sebaik tubuh Cikgu Din tiba di kawasan air cetek pantas semua orang memegang tubuh Cikgu Din. Tubuh yang tidak berbaju. Mereka usung tubuh Cikgu Din lalu dibawa ke kawasan khemah.

“Cikgu Din masih hidup,” kata Cikgu Jalil yang memeriksa nadi Cikgu Din.

“Bawakan tong air,” arah Ketua.

Salah seorang kawan aku mengambil dan memberikan kepada Ketua. Ketua tuang air dari tong ke tapak tangan kanan. Ada ayat suci Al Quran yang dibaca.

“Dudukkan dia dalam kedudukan bersila,” arah Ketua lagi.

Cikgu Din dalam kedudukan bersila kini. Ketua memandikan tubuh Cikgu Din yang hanya berseluar itu. Merayap air seluruh tubuh Cikgu Din. Ketua usap kepala Cikgu Din kemudian ketua tepuk tiga kali di tengkuk dan tiga kali di pinggang bahagian belakang. Selesai semua itu, Cikgu Din dibawa ke dalam khemah, dibaringkan. Cikgu Din masih belum sedarkan diri.

“Nanti pastikan ada orang jaga dia. Jangan risau Cikgu Din selamat dan akan sedar,” jelas Ketua.

“Biar saya jaga, encik,” Cikgu Jalil mengangkat tangan bagaikan anak murid.

Ketua mengangguk kepala. Semua orang rasa bersyukur. Bersyukur Cikgu Din telah dijumpai dan selamat. Semua orang berehat di kawasan khemah. Melepaskan penat lelah. Kegembiraan jelas terukir di wajah masing-masing.

“Tok, saya minta tolong Tok bagitahu pada orang kampung selepas ini jika dapat ikan yang pelik tolong lepaskan. Jangan disimpan,” kata

Ketua semasa berehat.

“Baik, encik. Pihak kami berterima kasih pada encik dan orang-orang encik kerana menolong kami,”

“Tuhan yang menolong Tok, bukan kami,” dalam maksud Ketua.

“Ya-ya betul,” Tok Batin mengangguk kepala.

Malam itu semua dapat tidur dengan lena. Walaupun penat masih terasa. Aku tidur hingga ke subuh. Selepas Solat Subuh aku menghampiri khemah Cikgu Jalil. Aku menjenguk kepala ke dalam khemah. Aku lihat mata Cikgu Din masih pejam, bermakna masih belum sedar.

Cikgu Jalil duduk di sebelah memperhatikan kawannya. Aku kembali ke katil gantung. Aku julurkan kaki pada alang katil, terbuai-buai kaki aku yang tergantung. Aku memandang ke arah tempat tidur Ketua. Suara zikir alunan Ketua, jelas di cuping telinga aku. Aku mendengar dan menghayati saja.

Waktu pagi. Seperti biasa kami membuat sarapan bersama-sama. Sedang aku khusyuk melantak kuih jemput-jemput kosong yang dicecah dengan sos.

“Cikgu Din dah sedar! Cikgu Din dah sedar,” satu suara kegembiraan memecah suasana.

Jemput-jemput yang sepatutnya aku suapkan ke mulut terlepas ke pipi dek terkejut. Aku menoleh ke arah khemah, rupanya suara Cikgu Jalil. Cikgu Jalil berlari ke arah kami, wajahnya jelas nampak kegembiraan kerana kawan serumahnya telah pulih.

“Cikgu Din dah sedar,” Ayat yang sama diulang di depan kami, terutama Ketua.

“Syukur pada Allah,” ringkas kata Ketua.

“Bagi dia makan, badan dia masih lemah tu. Lepas tu bagi dia minum air ni,” Ketua menghulur cawan plastik.

“Baik encik, terima kasih banyak encik,” Cikgu Jalil mengambil cawan itu. Jaki dan salah seorang orang Melayu menolong membawa makanan ke Cikgu Din.

“Botak, jap lagi kita melawat dia,” minta Ketua. Aku tersenyum dan mengangguk kepala.

Aku, Ketua dan beberapa orang lagi menapak ke khemah Cikgu Jalil. Sampai saja di pintu.

“Assalamualaikum cikgu,” kata Ketua.

“Waalaikumussalam encik. Masuk, encik, Botak,” perlahan dan agak tersekat nada suara Cikgu Din menjawab salam. Aku dan ketua menunduk badan masuk, kemudian kami duduk di sisi Cikgu Din. Kawan aku yang lain berdiri di luar. Sesekali menjenguk muka melihat ke dalam khemah.

“Syukur awak selamat, cikgu. Macam mana rasa badan, dah ada tenaga?” Ketua memulakan perbualan.

“Syukur encik, rasa bertenaga. Fikiran pun dah stabil. Syukur saya dah berada di alam nyata,” ceria wajah Cikgu Din.

“Bersyukur pada Tuhan kerana menduga dan mengakhiri dugaan Kita. Kekuatan iman kita yang Tuhan hendak lihat. Pada yang berlaku pasti ada hikmahnya,” jelas Ketua.

“Betul encik. Saya berterima kasih banyak pada encik kerana selamatkan saya. Terima kasih encik, Botak,” Cikgu Din bersalam dengan ketua dan aku.

Ketua hanya senyum sambil mengangguk kepala. Pada petang itu, kami meninggalkan kawasan jeram dan lubuk.

Tamat.

Catatan.

* Sebelum kehilangan, Cikgu Din mengatakan sedang tidur. Dalam tidur, dia terasa badannya digerakkan oleh seseorang. Apabila dia membuka mata, di depannya terlihat beberapa orang yang berbadan sangat besar, tinggi dan berkulit gelap. Pakaian mereka sangat pelik.

Mereka seperti memakai kulit haiwan yang diselubung pada badan mereka. Mereka merenung tajam dan marah kepada Cikgu Din. Seperti Cikgu Din telah membuat salah besar. Mereka menarik Cikgu Din menuju ke lubuk dan terus membawa masuk ke dalam air.

Cikgu Din menjerit sekuat hati meminta tolong namun tidak seorang pun kawannya sedar. Cikgu Din mengatakan lagi, dia masih sedar semasa dirinya berada di dalam air. Dia merasa pelik kerana tidak lemas. Dia boleh nampak ikan-ikan berenang sekelilingnya.

Cikgu Din juga mengatakan dia ternampak seperti sebuah rumah yang besar, mungkin istana di dasar lubuk itu kemudian kepalanya seperti dihentak oleh sesuatu yang berat. Selepas itu Cikgu Din tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang terjadi. Tunggul kayu itu juga hilang selepas Cikgu Din dijumpai.

– Zambri Perasan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *