Hamba Siapa?

Assalamualaikum. Nama aku Putri Ain, 32 tahun, bekerja sebagai pegawai sebuah firma perunding. Dah 8 tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta yang juga majikan tempat kerja aku dan telah memiliki ada dua orang anak, sorang lelaki sorang perempuan. Aku sebenarnya dah lama memendam rasa nak luahkan satu perkara yang sangat sinonim dengan bangsa melayu tentang bab perkahwinan iaitu hantaran dalam iium confession ni. Bukannya apa, aku tak tau la samada aku sorang je yang sedar akan perkara ni ataupun mungkin ada orang lain jugak sedar tapi lebih kepada ‘tunggu dan lihat’. Tapi bila dibiarkan makin teruk. Malah ada yang bermati-matian mempertahankan perkara yang tak termasuk dalam rukun nikah kawin. Disini kedangkalan fikiran orang melayu terserlah.

Apa yang sangat aku kesalkan sepanjang aku membesar sebagai seorang ibu dan isteri dengan berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang bersama suami dan anak-anak, aku lihat bangsa aku sendiri, iaitu bangsa melayu adalah bangsa yang degil. Ya, degil. Kenapa degil ? Sebab suka melebih-lebihkan adat dari tuntutan agama. Kalau tak ikut adat macam boleh mati atau berdosa. Kalau tak ikut adat nanti jadi bahan kutukan jiran tetangga dan sedara mara. Seolah-olah hina dan berdosa sangat kalau tak ikut resam adat. Lebih-lebih lagi dalam soal perkahwinan. Kalau tak buat majlis besar-besaran memang sah la kau akan jadi bahan kritikan orang. Kalau hantaran tak tinggi pun confirm jadi bahan mengata. Keluarga belah lelaki miskin la, kedekut la, tak ikut trend semasa la. Ya Rabbi. Sampai macam ni sekali ? Baiklah, aku akan kupas satu persatu berkenaan isu hantaran ni.

Aku nak kongsikan sedikit cerita. Beberapa hari yang lepas aku ada keluar bersama seorang client lelaki atas urusan kerja untuk perbincangan projek perumahan. Client aku ni berusia 28 tahun, orangnya agak tinggi dan ada rupa la jugak. Bila dah berjumpa, biasalah, akan sembang pum-pang macam macam perkara duniawi. Aku yang dah berumah tangga dan beranak-pinak ni cuma mampu berhuhuhu je la dengar dia bercerita. Tapi bila dia mula bukak cerita pasal kawin, aku pun bersedia untuk pasang telinga ( rasa tak sabar nak dengar sebab boleh agak akan ada cerita yang menyakitkan telinga ).

Client aku ni punyalah bersungguh-sungguh bercerita tentang majlis perkahwinan dia dengan bakal bini dia kelak. Punyalah beria cerita pasal mak bapak perempuan tu letak nilai sampai RM20 ribu untuk hantaran sahaja. Malah siap bercerita dia runding sekali dengan parent perempuan tu untuk kurangkan sedikit nilai tu, maka jadiklah RM15 ribu. Tapi dia mengadu dengan aku, mahal sangat, dan duit tu dia kata boleh guna untuk banyak lagi perkara lain selepas kawin yang lebih berfaedah. Contohnya melancong ke, berbulan madu ke. Dia nak buat majlis yang sederhana je, tak berapa besar, tak berapa kecik sebab dia nak elakkan pembaziran. Bakal bini dia tu pun ok je sebenarnya tapi mak bapaknya pulak banyak songeh. Dengan nilai hantaran tu bagi aku pun sangatlah membebankan pihak lelaki sebenarnya. Kau ingat senang nak kumpul wang sebanyak tu? Melainkan kau jual benda terlarang ke dalam masa seminggu dapatlah kot. Huhu.

Dan apa yang buat aku bertambah sakit hati dan kesian dengan client aku ni adalah mak bapak budak perempuan tu yang kelihatan terlalu materialistik. Memang nampak sangat riak wajah sedih dan kecewa dia tu bila bercerita tentang perangai bakal bapak dan mak mertuanya yang terlalu mementingkan harta benda. Malah dibagi tempoh yang sangat singkat iaitu ENAM BULAN untuk kumpul lima belas ribu tu. Tak cukup enam bulan, lupakan. Kau rasa? Walaupun client aku ni adalah seorang businessman yang berjaya, aku respect dia sebab merendah diri dan tak terlalu meninggi diri dengan status dia. Malah dengan gaji dia yang agak besar dia sebenarnya boleh je dia kumpul sebanyak tu, tapi dia rasa kesal sebab mak bapak perempuan tu menetapkan standard macam nak kawin dengan anak Dato’ / anak Sultan. Dalam hati aku pun berkata, ” What the ….. ??? “.

Inilah apa yang sangat aku kesalkan sebagai perempuan melayu. Untuk pengetahuan korang, aku kawin dengan laki aku tu dulu takde hantaran pun. Takde. Sebab mak bapak aku ni hamba Tuhan, bukan hamba Adat. Laki aku tu kawin dengan aku cuma dengan modal mas kawin yang ciput je ( malas nak sebut ), majlis kecil-kecilan, bersanding pun ala kadar. Suami pakai baju melayu teluk belanga putih bersamping bersongkok manakala aku pulak berbaju kurung putih dengan sedikit hiasan ala pengantin. Lepas nikah terus jalankan majlis. Jemput keluarga dan saudara mara belah suami, kawan sekerja dan kawan baik untuk makan beramai-ramai, lepastu bergambar. Tanpa pelamin, tanpa karaoke, tanpa kompang dan tanpa bunga manggar. Hanya sewa dewan je. Aku bukan nak riak ke apa cuma aku nak cakap, aku bangga dibesarkan dalam keluarga yang memahami dan mementingkan soal agama lebih daripada adat. Malah aku sangat bersyukur dapat suami yang datang dari keluarga yang baik-baik. Keluarga dia pun bukanlah dari kalangan orang berada. Sebab tu aku faham. Aku taknak menyusahkan suami aku dan keluarganya. Apa yang penting, niat dan keikhlasan.

Ayah dan mak aku selalu pesan pada aku dan adik beradik perempuan lain. “Jangan menyusahkan pihak keluarga belah sana. Kita mudahkan, tak payah membazir. Buat sesimple mungkin. Allah lagi suka.” Terngiang-ngiang lagi nasihat ayah ni. Ingat sampai sekarang. Mak pulak cakap : “Takyah buat hantaran-hantaran lah, bagi je duit haaa pergi shopping sama-sama lepas kawen. Masa tu la nak kenal-kenal apa taste pasangan, baru sweet.” Haha menarik jugak idea mak. Mudahkan perkahwinan, rendahkan mahar, insyaAllah barakah ke atas kedua pasangan serta keluarga kedua-dua pasangan.

Pesanan bagi yang bakal bergelar isteri tu, kalau tidak mak ayah kita yang memudahkan perkahwinan, kenapa tidak diri kita sendiri? Slow talk dengan mak ayah kita dalam bab memudahkan perkahwinan seperti yang Nabi suruh. Mudahkan bagi pihak lelaki, jangan bagi mereka ‘sakit kepala’ memikirkan perbelanjaan dalam perkahwinan. Bila dah berkahwin nanti, jangan ambil mudah pula ya lelaki dalam urusan membesarkan, menguruskan isteri dan anak. Tak perlu fokus lebih-lebih dalam kenduri perkahwinan, yang perlu fokusnya nanti adalah bagaimana kita mendidik keluarga dalam mentaati Allah dan hidup dalam suasana yang saling membaikkan antara satu sama lain.

Masyarakat perlu faham, hantaran tu TAK WAJIB. Bila tak wajib, tak perlu disusahkan / dibuat. Nama pun hadiah, bila sebut hadiah, terpulanglah kepada kerelaan dan keredhaan si pemberi. Namun masyarakat kita telah anggap hantaran sebagai adat yg ‘wajib’ dilaksanakan. Dalam konteks bangsa melayu, lebih besar nilai hantaran maka lebih tinggi nilai dan darjat perempuan itu. Sebab tu lah hantaran itu jadi unsur mencekik darah dan memudharatkan, ini yang Islam tegah sampai menyusahkan perkahwinan, menggalakan budaya hutang, merancakkan penzinaan.

Untuk anak-anak dara sekalian, akak nak pesan, elakkanlah letak hantaran tinggi yg diluar kemampuan lelaki. Benda tu tak wajib pun dik oii. Telitilah dulu kemampuan bakal suami kau tu. Hantaran tiada kaitan dengan nilai diri sendiri. Nilai kau yang sebenar adalah pada Agama dan Akhlak. Pedulikanlah mulut celupar saudara mara atau jiran tetangga kau tu yang menyibuk pasal hal rumahtangga kau tapi diorang sebenarnya tak menyumbang pun. Menyumbang cakap lebih je boleh la. Hahahaha. Memang tak dinafikan akan ada mulut-mulut sumbang puaka longkang yang cakap ” apasal majlis kawin anak dia tak meriah? apasal nilai hantaran sikit sangat? miskin ke lelaki tu?”. Pertama sekali akak nak cakap, KAU BUAT TAKTAU je. Yang nak kawin tu kau, kau ngan mak bapak kau la yang buat kerja. Kalau sedara mara jiran tetangga menyibuk tu dia punya pasal sebab tak mendatangkan faedah pun. Yang nak mendirikan rumah tangga tu kau. Yang buat majlis tu kau. Diorang paling tidak cuma tolong sediakan apa yang patut masa rewang atau datang makan je. Kita tak boleh tutup mulut hamba adat yang tak sedar diri ni. Sangat susah. So, abaikan persepsi orang. Diri sendiri punya soal tu yang lebih penting.

Sampai bila bangsa melayu mesti hidup dalam lamunan adat ? Bila tak ikut adat macam berdosa, takut jadi bahan mengata orang, aduhai. Akak nak tanya, hukum agama ke hukum adat yang lebih penting ? Kau terlalu ikutkan tuntutan adat tu, apa yang kau dapat ? Hantaran sampai berpuluh-puluh ribu tu, boleh jamin kebahagiaan rumah tangga ke ? Bila tak cukup, tu yang pernah jadik sampai gaduh dalam masjid. Menentang hukum agama satu hal, lepas tu bergusti dalam rumah Allah pulak. Hanya kerana hantaran tak cukup je kot,. Tak ke kurang ajar tu namanya? Nampak tak, kerana adat yang merumitkan ni boleh menjadi pertikaian yang tak berkesudahan?

Nampak tak kesannya kat sini? Bila sesuatu perkara tu dah jadi kebiasaan turun temurun zaman berzaman, maka melayu pun anggap la benda ni sebagai WAJIB. Bila Wajib, tak dilaksanakan maka jadi bahan mulut orang. Kesian ngan orang melayu ni. Macam mana lah tak kene pijak je ngan orang Cina ? Pasal benda remeh temeh gini pun kau tak boleh berfikir baik buruknya. Pelik betul Akak dengan orang melayu. Tak pernah berubah walau zaman makin maju. Masih juga nak pertahankan benda yang terang-terang melecehkan proses berumah tangga. Ada otak tu gunakanlah, Tuhan dah bagi kurniaan tu apa gunanya kalau kau tak pandai guna dengan betul?

Aku cakap lebih-lebih pun tak guna. Lebih baik korang semua fikir sendiri. Aku ni pun bukannya baik sangat nak sembang bab agama. Cuma nak pesan, pentingkanlah suruhan Tuhan tu daripada tuntutan adat. Mana satu kau yang sebenarnya dalam hidup? Hamba Tuhan atau Hamba Adat ? Ataupun kau ni cuma Hamba Tuhan yang jadi mangsa tipudaya adat ? Masih belum terlambat untuk kita sebagai orang Melayu ubah semua ni selagi kita semua boleh berfikiran waras.

Akhir kata, akak nak mintak maaf la ye kalau ada yang terasa dengan confession ni. Tapi akak boleh agak akan ada yang terasa / sentap. Siapa makan cili, dia rasa pedas. Siapa rasa pedas kata aku cakap lepas. Huhuhu. Rileks la. Ni semua sekadar luahan aku je berkenaan kerenah orang melayu kita. Kau nak sentap atau terasa itu kau punya pasal la. Siapa suruh buat? Hahaha. Baik yang lelaki mahupun yang perempuan, marilah kita balik kepada Islam yang sebenar. Tinggalkan sedikit demi sedikit tuntutan remeh adat kita yang entah apa-apa tu. Ikut adat takkan menjamin apa pun. Tapi ikut Islam tu lah yang seeloknya. Kerana Islam itu menuntut permudahkan urusan, bukan merumitkannya. Aku doakan semoga korang yang dalam proses mendirikan rumah tangga tu dipermudahkan dan dipercepatkan segala urusan. Semoga Allah meredhai kita.

– Putri Amira Nafisah

– Putri Amira Nafisah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit