Ikat Perut Dengan Biskut

Malam itu aku merasa sangat gembira. Aku baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid Al Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia. Ibarat melepas rindu aku menghabiskan masa di situ dengan membaca entah berapa helai Al Quran sehinggalah lampu masjid ditutup gelap. Aku masih duduk beriktikaf mensyukuri nikmat yang baru sahaja Allah sampaikan. Di dalam gelap aku ternampak kelibat seseorang yang sedang solat, mungkin solat Isyak. Aku kenal batang tubuh itu, tubuh sahabat usrahku Wan Hasnul. Mungkin dia baru sahaja selesai kuliah malam.

Aku duduk menunggu di belakang sehingga dia selesai solat. Sudah hampir seminggu kami tidak bersua, sedangkan masjidlah tempat pertemuan wajib. Bertemu, bersapa dan bertanya khabar setiap hari. Selesai sahaja dia mengamin doa, lantas dia berpaling dan mendekatkan diri. Aku menghulur salam dan kami berpeluk.
“Ya Allah, Azman lamanya aku tak nampak engkau di masjid. Engkau sakitkah?” terus sahaja Wan Hasnul bertanya sebaik sahaja dia melepaskan pelukannya. Aku hanya tersenyum, berbunga di hati bertatap wajah dan mendengar suara sahabat.
“Aku tak berapa sihat sikit, sebab itu duduk di bilik sahaja,” aku cuba untuk berselindung.
“Engkau cakaplah engkau sakit apa. Takkan sakit sampai tak bagitahu kat siapa-siapa. Bolehlah kawan-kawan pergi ziarah.” Wan Hasnul bertanya lagi, Hati aku berat untuk berselindung lagi. Rasa bersalah jika tidak berkongsi masalah dengan sahabat seperti Wan Hasnul.
“Panjang ceritanya, itupun kalau engkau hendak mendengarnya,” aku cuba memberikan alasan dengan harapan Wan Hasnul mengalah untuk tidak mendengar kisah aku.
“Engkau ceritalah, mungkin jika ada masalah aku boleh membantu,” Wan Hasnul cuba memujuk untuk aku menceritakan masalah aku.

Aku menelefon ibu bertanyakan khabar di kampung dan bagaimana persekolahan adik-adikku. Sudah tiga hari aku tidak menelefon ibu. Berbunga kembali hati ini biarpun dirundung sedih. Harapnya ingin mengkhabarkan kesusahan namun khuatir membebankan ibu, biarlah ibu mendengar suara riang ini setidak-tidaknya mengharap ibu terhibur. Rasa lapar pada hari ini ditahan-tahan biarpun sudah buntu di manakan dapat makanannya sedangkan kocek pun sudah kering. Masih teringat-ingat aku pernah menelefon ibu mengadu kesusahan dan ibu pun mengirimkan sepuluh ringgit melalui akaun bank aku. Jika hanya sebanyak itu ibu titipkan pada aku di universiti, adakah cukup makan ibu dan adik-adik di kampung? Itulah kali terakhir aku mengadu masalah wang pada ibu.

Beginilah hidup di kampus minden, perit pula hidup aku di tahun keempat yang juga tahun akhir. Menunggu wang biasiswa pun belum muncul-muncul di skrin mesin ATM bank. Kepada siapa lagi hendak kuadukan masalah aku? Kepada persatuan kebajikan pelajar mana yang boleh aku kongsikan derita aku? Tidak malukah aku mengeluh kesusahan aku kepada usrah aku? Segan rasanya seorang Presiden Persatuan Mahasiswa seperti aku mengorek tabung kebajikan yang disediakan kepada pelajar-pelajar siswa yang memerlukan bantuan.
Pulang lemah berjalan kaki dari kuliah aku memasuki bilikku. Lantas aku terus duduk mengadap meja belajar. Aku menatap tajam satu bungkusan plastik biskut berwarna kuning. Masih tinggal enam keping biskut dari dua belas keping yang ditinggalkan di atas meja itu. Tiga hari lepas dua orang guru yang membawa rombongan pelajar melawat ke universiti tumpang tidur di bilik aku yang mempunyai tiga katil.

Pihak universiti mengkhususkan bilik asrama kepada seorang penghuni seperti aku sebagai sesuatu yang ekslusif selayaknya seorang presiden pelajar dapat. Sebagai penghargaan kepada aku, mereka berdua meninggalkan sebungkus plastik mengandungi dua belas keping biskut. Dua malam lepas duit terakhir, aku belanjakan untuk sebungkus nasi lemak bagi makan malam. Syukurlah ada sebungkus biskut dengan dua belas keping yang masih belum dibuka ditinggalkan tetamu. Aku berfikir inilah rezeki yang Allah tinggalkan untukku. Pagi semalam aku mula mencatu. Dua keping biskut untuk sarapan pagi dan dua keping untuk makan petang. Catuan makanan perlu dirancang dengan teliti bagi menghadapi saat–saat sukar seperti ini sementara aku berikhtiar untuk hari-hari seterusnya. Pagi tadi dua keping biskut sudah pun aku habiskan meninggalkan enam keping biskut.

Biarpun hanya enam biskut dengan saiz yang kecil yang masih tinggal namun aku yakin keberkatan pada biskut dapat mengalas perut yang lapar.
Melepas penat di katil aku mencapai segelas air masak yang aku dapatkan di bilik pantri bersebelahan dengan bilikku. Azan asar sedang dikumandangkan dan hari-hari sebelum itu sudah tentu aku akan bergegas ke masjid. Namun hari itu berat rasanya untuk berjemaah di masjid khuatir untuk bertemu dengan sahabat-sahabat yang turut singgah di masjid. Aku tidak mahu orang lain merasa simpati pada aku jika mereka melihat keadaan aku. Biarlah pada Allah sahaja aku mengadu. Terus sahaja aku bangun ke bilik air berwudhu dan menunaikan solat asar di bilikku yang aku kunci rapat pintunya.

Selesai menadah tangan mengadu dan berharap pada Yang Esa, aku pun terus duduk sambil membelek-belek nota yang didapati dari kuliah pada hari itu. Tangan aku pun mencapai dua keping biskut dan dengan lafaz bismillah, aku menghabiskan biskut itu. Kemudian aku meneguk segelas air dan mengucap syukur. Aku bangun dan menghempas tubuh ke atas tilam untuk tidur dan melenyapkan rasa lapar yang masih terasa.
Begitulah aku melalui dua hari dengan berbekalkan biskut dan air masak sahaja. Tinggal diam di bilik berteman nota-nota kuliah dan sejadah melapik aku yang tidak putus munajat pada Ilahi. Malam aku sibuk-sibukkan diri berkeluh kesah dengan Penciptaku, bermonolog dan berharap-harap. Terkadang-kadang aku merasa dihibur dan dilayan. Biarpun malam yang sunyi tiada suara hanya kebisuan gelap kuhadapi. Sekali sekala hangat pipiku dibasahi air mata. Indah sungguh saat ini apabila berbual-bual bercerita kesusahan diri dan derita hari ini. Berharap juga pada esok yang ceria. Bukan sahaja diri ini yang menjadi kisah, tapi ibu dan adik-adik juga dikisahkan pada Allah.

Subuh pagi ini adalah kali keempat aku ponteng berjemaah di masjid. Sudah empat hari aku tidak berkunjung ke rumah Allah yang sangat aku rindukan. Masjid aku rindukan saf-saf jemaahnya. Aku rindu juga untuk bersolat sunat. Aku rindu pada tangan-tangan hangat bersalam. Seronok melihat kuntuman senyum para jemaah. Lebih menggembirakan sebaiknya selesai membaca Al Quran dapat berkumpul dengan sahabat-sahabat di tiang-tiang belakang masjid. Hal ini yang paling memberatkan aku ke masjid di ketika ini khuatir kisahku dikongsi-kongsi orang.
Sebelum ke kuliah aku habiskan dua keping biskut dan segelas air masak bagi mengurangkan rasa lapar di perut. Lubang di tali pinggang pun telah aku tebuk bagi mengetatkan seluar yang sudah longgar. Biarpun perut tidak diisi namun akal perlu diisi dengan ilmu dari pensyarah-pensyarahku. Sebelum keluar, sempat aku menjeling pada dua keping biskut terakhir. Apakah ikhtiar aku seterusnya, aku sendiri masih bingung.

Aku tidak pernah ponteng kuliah dan kelas kerana pensyarah-pensyarah sering memanggil aku di dalam kelas mereka. Aku bukan pandai dan aku juga bukan pelajar kegemaran pensyarah tapi itulah nama aku juga yang sentiasa disebut-sebut. Tapi itu bukanlah alasan aku rajin ke kuliah tapi kerugian besar jika aku tidak hadir khuatir ketinggalan isi-isi penting. Kebiasaannya aku akan memberikan perhatian penuh kepada suara pensyarahku. Bukan kerana pensyarahku kacak, lawa atau bersuara lunak tetapi aku sangat minat dengan pengisian yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarahku. Tetapi hari ini aku mencuri-curi tengok pelajar yang diam-diam makan di dalam kuliah. Entah mengapa bergaduh sakan sekalian ahli di dalam perut, terasa bergoncang-goncang perit mencucuk-cucuk. Sekali sekala menelan air liur membayangkan nikmatnya sandwich yang dijamah perlahan pelajar di hadapanku.
Selesai kuliah pada hari yang panjang, lewat petang aku mengangkat kaki yang sudah lemah melangkah pulang ke bilik asrama. Bergegas pulang agar tidak ketemu sesiapa terutama sahabat-sahabat. Sampai di bilik, harapnya dua keping biskut yang masih tinggal dapat melangsaikan sengsara lapar dan letih. Hati dirundung sedih tatkala aku menghabiskan sekeping biskut bukan kerana sekeping biskut yang masih tertinggal tetapi pada masa yang sama azan maghrib dilaungkan. Sekali lagi dengan hati yang berat aku mengikat diri di dalam bilik mengurung diri menjauh dari masjid yang aku kasihi. Masih ingat pesan ibu, doa yang paling baik ialah di antara azan dan iqamat. Sambil menjamah biskut terakhir aku berdoa dan memberitahu pada Yang Esa,
“Ya Allah, inilah biskut yang terakhir. Ya Allah datangkanlah sesuatu yang menggembirakan aku sebagaimana aku serahkan sepenuh diri ini kepada Engkau. Aku tidak mengadu selain dari Engkau kerana hanya kepada Engkau sahaja aku berharap,” doa perlahan aku itu tanpa disedari diikuti lelehan hangat air mata yang terasa di pipi. Masih akan adakah makanan untukku?

Sebaik sahaja aku menjamah sekerat biskut, tiba-tiba pintu yang tidak dikunci dibuka keras. Aku kenal pada tubuh gemuk yang merempuh masuk tanpa salam.
“Abang Azman, jom pi makan. Aik! Makan biskut?” jerit Nazron, pelajar junior tahun dua tinggal di tingkat bawah. Rupa-rupanya dia datang untuk mengajak aku makan di kafeteria. Hajatnya membuat kejutan pada aku, sebaliknya dia yang terkejut. Sebelum aku bersuara, dengan tenang dia menyeluk kocek seluarnya.
“Nah Abang Azman, jom kita turun makan,” Nazron lantas menghulurkan sekeping lima puluh ringgit. Aku menyambut huluran itu walaupun kehairanan kerana dia memberi tanpa bertanya apa-apa pun tentang apa yang dia saksikan.
“Terima kasih, tapi jom jemaah dulu,” aku cuba mengajaknya solat maghrib berjemaah di bilikku terlebih dahulu sebelum keluar.
Rupa-rupanya rintihanku pada Allah telah dijawab. Allah mengirimkan Nazron datang pada kepingan biskut terakhir. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan Dialah yang memastikan rezeki untukku tidak putus selagi mana aku tidak putus berdoa dan berserah padaNya. Malah pada Nazron pun tidak sempat aku bersuara dan tidak sempat aku meminta tolong. Pemberian bantuan dari Nazron terus secara spontan. Inilah kebesaran yang Allah pamerkan pada aku.
Selesai kami berjemaah maghrib di bilik, Nazron mengajak ke warung makan di luar. Sudah berhari-hari aku tidak keluar makan dengan sesiapa. Malam itu aku habiskan masa bersama dengan Nazron, bercerita dan bersembang melepas rindu pada sahabat yang telah lama tidak bertemu. Lewat malam itu selepas berjemaah Isyak, Nazron pun pulang dari bilik aku. Badan yang penat mendorong untuk aku terus tidur. Lewat di hujung malam seperti kebiasaan aku bangun lagi tetapi bukan lagi dengan skrip harapan yang sama. Sebaliknya kesyukuran yang tinggi. Malah diri terasa puas tatkala dapat bermonolog malam bersama Dia. Aku memanjat syukur yang tidak terhingga dengan jawapan yang Allah berikan.
Subuh keesokkannya adalah subuh yang indah. Seolah-olah diri ini baru lahir untuk berjemaah subuh di masjid. Hari itu juga dilalui riang dan ceria, bukan kerana aku sudah kembali mempunyai wang tetapi kerana aku dapat kembali ke masjid meneruskan rutin harianku seperti biasa. Wang yang ada digunakan membeli sedikit makanan keperluan untuk disimpan. Aku sedar wang yang ada bukanlah banyak namun cukup untuk aku berikhtiar seterusnya. Aku telahpun berkira-kira untuk menangguhkan semester akhir bagi mencari pekerjaan menampung wang untuk pengajian seterusnya kelak. Aku bertekad untuk tidak menyusahkan ibu di kampung dan sahabat-sahabat di universiti. Selesai kuliah hari itu aku menghabiskan masa di masjid.

Wan Hasnul yang tekun mendengar kisah panjang yang aku sampaikan secara tenang, kelihatan menyeka air matanya yang jatuh meleleh dengan hujung lengan baju.
“Azman, kenapa engkau langsung tidak menceritakan pada sahabat-sahabat?” tanya Wan Hasnul dengan suara yang perlahan.
“Sudah pasti semua sahabat akan memberikan bantuan dan semua masalah sepatutnya sama-sama kita selesaikan,” tambah Wan Hasnul lagi cuba untuk menunjukkan simpatinya pada apa yang telah berlaku kepada aku.
“Maaf, aku tidak mahu membebankan orang lain dengan masalah aku. Insyallah masalah aku, aku yang akan selesaikan. Dan aku tidak mahu bergantung bantuan pada orang lain,” jawab aku sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Tapi aku sahabat engkau dan aku tidak sanggup biarkan sahabat aku kesusahan sedangkan aku mampu untuk membantu engkau,” balas Wan Hasnul yang kelihatan tidak berpuas hati dengan jawapan aku.
“Wan Hasnul, alhamdulillah aku sedikit senang sekarang. Tenangkanlah diri dan jangan risau aku lebih tahu bagaimana aku akan selesaikan masalah aku,” aku memujuk dan menenangkan Wan Hasnul.
Malam itu sebelum kami kembali ke asrama masing-masing, Wan Hasnul memeluk erat seolah-olah tidak mahu berpisah. Terasa basah baju yang aku pakai dengan air matanya. Aku tahu dia masih berat untuk membiarkan aku pulang begitu sahaja. Sampai di bilik aku duduk di katil bilik dan termenung memikirkan ikhtiar untuk seterusnya. Wang yang diberikan Nazron pun akan hanya cukup untuk bertahan dua minggu sahaja, itupun dengan langkah berjimat cermat. Tiba-tiba ketukan di pintu bilik mengganggu fikiran dan terdengar suara memberi salam. Rupa-rupanya Wan Hasnul datang ke bilik untuk menyampaikan dua beg plastik berisi keperluan makanan yang sempat dia beli di kedai untuk simpanan di bilik aku. Dia juga sempat memasukkan sekeping lima puluh ringgit ke dalam saku baju melayu aku. Walaupun aku menolak namun aku sedar aku tidak akan dapat menolak bantuan Wan Hasnul khuatir mengecilkan hatinya.

Keesokkan harinya beberapa orang sahabat datang berkunjung. Inilah yang meresahkan aku, berkali-kali aku nyatakan aku bukan orang yang mahu kepada bantuan namun aku tidak berdaya menolak keinginan sahabat-sahabat untuk bersama menghulurkan bantuan. Seorang sahabat usrah bernama Syariman berjaya mendapatkan bantuan saudaranya yang merupakan ahli perniagaan untuk memberikan sumbangan seribu ringgit bagi membiayai pengajian semester akhir, bagi memastikan aku tidak menangguhkan pengajian semester akhir. Akhirnya setelah dihitung semua hasil kutipan didapati ia mencukupi untuk menampung kehidupan dan yuran pengajian sehingga tamat. Sesungguhnya kepada Allah aku berserah dan kepada Allah aku kembali.

Syukur kepada Allah yang mengabulkan permintaan dan juga kepada sahabat-sahabat yang menolong.

– ANAS AHMAD

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit