Suami Tak Guna

Dah memang menjadi rutin dan perkara yang diketahui oleh pelajar perubatan mengenai log book. Masuk sahaja posting baru, pasti ada log book, dan pasti ada tugas ibarat assignment untuk memenuhkan logbook tersebut.

Prosedur, case presentation, CME dan lain-lain, dan masuk sahaja di posting jabatan sakit puan, atau Obstetric and Gynaecology (O&G), terpampang di muka surat ketiga dalam logbook tersebut yang kami perlu conduct sekurang-kurangnya 5 kes beranak dalam jangka masa 6 minggu tersebut.

Aku semasa itu berada di tahun 4 sekolah perubatan. Aku cukup tak suka dengan posting tersebut. Aku tak suka menguruskan pesakit bersalin, aku tak suka mempelajari subjek tersebut dan aku tak suka atmosfera bilik bersalin. Pendek kata, memang sewaktu belajar dahulu, memang aku tak minat untuk mempelajari subjek O&G.

Namun aku tahu, kelak, selepas tamat sekolah perubatan, semasa buat housemanship, akan perlu aku lalui posting ini selama 4 bulan, dan sekiranya aku tamat houseman, aku mungkin akan ditempatkan di klinik-klinik kesihatan seluruh Malaysia, yang mana tak boleh lari daripada menguruskan kes-kes ibu mengandung.

Tidak banyak pesakit malam itu, ada 5 bilik kesemuanya di situ, 3 daripadanya sudah penuh. Terus aku masuk bilik ketiga, maklumlah, sebelum kawan-kawan aku sampai. Memang antara kami, akan berebut pesakit, dan berebut tandatangan daripada bidan-bidan bertauliah pula. Pesakit sedikit, pelajar ramai, jadi, dah macam konsep “survical of the fittest” la kiranya.

Aku lihat di dinding, tertulis nama Salmah Md Nor. Umurnya 43, gravida 5 Para 4. Bermaksud dia mempunyai 4 orang anak, dan ini merupakan peranakannya yang ke-5. Bertuah juga aku, kerana bukan pesakit primigravida, iaitu anak pertama mereka. Proses kelahiran untuk mereka yang telah beranak sebelum itu kalau nak dibandingkan dengan kali pertama jauh lebih cepat, dan lebih lancar.

Terus aku memberi salam kepada Puan Salmah. Di situ terdapat seorang pelajar jururawat juga, daripada kolej kejururawatan kubang kerian kalau tak silap aku. Sahira namanya. Aku meminta kebenaran Puan Salmah untuk menguruskan proses dia bersalin.

Aku pasangkan mesin cardiotocograph dengan pertolongan pelajar jururawat tu sekali. Elok juga dia berada di situ, maklumlah, kalau pesakit berseorangan, berlainan jantina, perlu ada chaperone, iaitu peneman. Aku kira adik tu lah chaperone di situ.

“Ini anak ke berapa kak?”, aku berpura-pura bertanya walaupun dah tahu, dengan niat nak mencari modal untuk memulakan perbualan.

“Kelima doktor”, katanya.

Aku mengangguk sahaja. Memang biasa pesakit memanggil kami doktor walaupun semasa itu, masih belum lagi dapat “title” tersebut.

“Wah, orang kata kalau anak kelima ni batuk sahaja pun dah terkeluar bayi tu…”, aku membuat jenaka. Sahira tersenyum sahaja. Puan Salmah ketawa.

“Mestilah doktor, dah pengalaman banyak”, jawab sambil tersengih, menampakkan giginya.

Mulai dari saat itu, aku kira connection antara dia sebagai pesakit, dan aku sebagai salah seorang perawat terbentuk. Aku mula bersembang. Puan Salmah agak ramah juga. Sembang-sembang, dia tanya aku berasal daripada mana, tahun berapa di universiti dan lain-lain.

Entah daripada mana terpacul soalan “Puan Salmah seorang sahaja ke? Suami tak dapat teman?”

Mendengar soalan aku, wajah Puan Salmah yang tadinya gembira bertukar suram. Aku hairan. Dalam hatiku, ah, bodoh sungguh aku ni, mengapa aku bertanya soalan sedemikian walaupun aku pun sebenarnya merasakan soalan itu tidak pelik dan bukan soalan yang tidak patut.

Terus aku minta maaf tanpa disuruh kepada Puan Salmah. Aku kata, andai kata soalan aku tu mengecilkan hatinya, aku minta maaf.

Puan Salmah diam sahaja. Tiba-tiba terjenguil sahaja seorang bidan terlatih di muka pintu sambil berkata

“Adik student, awak tolong bersihkan set yang dekat dalam sinki tu sekejap”. Sahira mengangguk dan terus membuat kerja yang diarahkan tanpa banyak soal.

Aku bersandar di kabinet ubat-ubatan di dalam bilik bersalin. Keadaan jadi sedikit pelik. Jadi macam “awkward” tiba-tiba.

“Sebenarnya kan doktor…”, Puan Salmah tiba-tiba bercakap. Aku menoleh ke arah mukanya, bunyi mesin dynamap yang bising sewaktu itu menyebabkan aku merapati Puan Salmah untuk mendengar apa yang ingin dia katakan.

“Ni suami akak, Abang Rozi”, kata Puan Salmah seraya menunjukkan gambar suaminya di dalam telefon pintarnya.

“Dia askar, bekerja di Lahad Datu, dah tiga bulan dia tak balik” sambungnya.

“Mungkin dia sibuk di sana kot Puan, maklumlah kes Lahad Datu tu masih tak selesai lagi kan?”, jawab aku.

Saat itu, terus Puan Salmah menunjukkan aku gambar suaminya bersama seorang perempuan. Aku terdiam, takut nak bertanya apa-apa taktala melihatkan wajah perempuan tersebut yang sememangnya bukan Puan Salmah.

“Ni gambar kawan dia hantar. Dalam diam-diam dia kahwin satu lagi. Bila akak dapat tahu, terus dia tak balas mesej dan tak jawab panggilan daripada akak dah. Habis beras, pakaian anak-anak semua, ayah akak yang perlu tanggung” katanya mengesahkan apa yang aku fikirkan daripada tadi.

“Dia tipu akak, katanya ada urusan kerja yang masih tak selesai, walhal kawan-kawan satu kem dan satu unit dengannya dah balik 3 minggu lepas…” Puan Salmah menyambung.

“Ayah akak kerja lagi ke? Dahtu akak menyara kehidupan ni macamana?”, aku bertanya dengan perasaan ingin tahu.

“Akak jual laksam, dan kuih-muih di gerai jiran kak, tepi jalan besar dekat-dekat area Pasir Tumboh”

Aku mengangguk sahaja. Bukan aku tahu sangat pun kawasan situ, walaupun berdekatan dengan hospital.

“Cukup ke kak hasil yang dapat daripada jual kuih tu?”. Aku menyambung persoalan. Kalau tadinya Puan Salmah banyak bertanya kepadaku, kini giliran aku pula.

“Memang tak pernah cukup. Anak-anak akak yang bersekolah semua dapat RMT (Rancangan Makanan Tambahan), cuma yang kecil-kecil ni lah, lampinnya, susunya, memang tak pernah cukup…”

Aku bersetuju. Zaman ini, mana ada yang cukup. Tak pernah pun cukup kecuali kau Donald Trumph.

Puan Salmah menyambung, “Sebenarnya, sebelum dia tinggalkan akak pun, abang Rozi memang tak pernah bagi nafkah yagn mencukupi untuk akak dan keluarga. Sibuk dengan rokok dia, sibuk keluar melepak sampai ke malam…”

Saat itu, aku lihat Sahira masuk semula. Puan Salmah. Aku lihat, Puan Salmah terus mengunci bibirnya. Mungkin dia tak mahu orang lain mengetahui perkara sebenar. Sahira tersenyum melihatku. Pelajar berumur 20-an itu kemudiannya terus sahaja mencatat bacaan tekanan darah. Aku diam sahaja di tepinya. Bukan diam, tetapi lebih kepada terdiam.

Apa jenis manusia yang buat macam ni? Kukira, saat dia mengandungkan Puan Salmah buat kali kelima, selepas itu terus pergi meninggalkannya tanpa sesen pun duit nafkah. Dicarinya pula perempuan lain? Aku ingat begitu sahaja, rupanya memang tak pernah ambil kisah tentang keluarganya sendiri. Kurasakan perkataan zalim terlalu baik untuk orang-orang sebegini.

Beberapa minit kemudian, Puan Salmah mula merasakan bahawa dah tiba masanya untuk dia meneran, melahirkan anak. Terus dia kata kepada Sahira,

“Adik nurse, tolong teman akak ya”. Terus sahaja kulihat Sahira mengangguk dan memegang tangannya seraya berkata’

“Boleh saja makcik”.

Aku simpati juga. Dia melahirkan anak kali ini tanpa sesiapa di sisi. Tanpa suami yang disayangi, yang dicintainya dulu. Saat itu, aku perlu “conduct” kelahiran bayi dengan bantuan bidan bertauliah. Memang aku tak tipu, itulah kelahiran yang paling mudah aku pernah lihat.

Puan Salmah melahirkan seorang anak lelak. Berkulit cerah, suci. Suci daripada dosa, suci daripada segala kekotoran yang berada didalam hati manusia yang telah dewasa.

Tak fikir panjang, aku azankan sahaja. Aku lihat, Sahira macam terkejut juga kerana aku tahu, dia tidak tahu perkara sebenar yang dialami Puan Salmah. Maklumlah yang biasa azankan mahu iqamat tu pihak suami. Setelah uri dikeluarkan, bayi telahpun dirapatkan ke kulit ibunya atau dipanggil “skin to skin contact”, bayi tersebut dibawa ke sebuah bilik berdekatan bilik bersalin.

“Akak nak panggil dia Muhammad Hanif”, kata Puan Salmah menyebabkan aku senyum.

Aku tahu maksud nama Hanif ialah seseorang muslim yang suci dan teguh. Bersih, langsung tak sama dengan bapanya. Memikirkan sahaja kisah yang diceritakan Puan Salmah itu mengenai suaminya Rozi sudah cukup membuatkan aku marah, geram dan sakit hati.

Bodoh. Tak guna. Ada ke patut setelah mengandungkan isterinya, tinggal begitu sahaja. Sudahlah begitu, terkontang-kanting pula isterinya nak hidup, nak menanggung 4 orang anak dan kini menjadi 5. Aku fikir, sudah tentu ibu bapa Puan Salmah sudah agak tua. Kasihan, perlu menanggung Puan Salmah yang dianggap sisa oleh suaminya pula.

Aku melihat Hanif dia dalam kot bayi. Menangis dia di situ. Tanpa aku sedar, air mata mula juga berempang di mataku. Sedik. Sebak. Apalah yang akan kau lalui Hanif. Bagaimanakah kau nak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Tanpa persekitaran yang kondusif dan banyak pancaroba. Pelbagai fikiran negatif membanjiri ruang pemikiranku.

Ku lihat jari-jemarinya mengenggam saat aku meletakkan jari telunjukku di tapak tangannya. Dia berhenti menangis. Dia membulatkan matanya melihat aku yang kesedihan di situ. Dia tersenyum. Seolah-olah menyampaikan mesej “jangan risau” kepadaku. Aku tersenyum kembali….

TAMAT

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *